BERITA TERKINI   Majlis Amanat Perdana Menteri akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM | Bekas menteri M.Saravanan mengesahkan beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen KL esok | Keuntungan bersih IHH Healthcare meningkat kepada RM573 juta pada suku kedua Tahun Kewangan 2026 daripada RM443 juta pada tempoh yang sama tahun lepas | Kerajaan akan terus buka ruang, bina ekosistem dan perluas akses kepada usahawan Bumiputera - Ahmad Zahid | Usahawan Bumiputera perlu bina pemilikan, memperbesar skala dan mencipta penguasaan - TPM Zahid | 

Untung Bersih Suku Kedua KLCC Property Naik Kepada RM204.42 Juta

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) --  KLCC Property Holdings Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 kepada RM204.42 juta daripada RM200.45 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil turut meningkat kepada RM415.72 juta berbanding RM410.25 juta sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata prestasi suku berkenaan disokong oleh kadar sewa yang lebih baik bagi Menara Exxon Mobil serta sumbangan kukuh daripada segmen peruncitan dan perkhidmatan pengurusan.

Ad Banner

“Selain itu, pelaksanaan pembiayaan semula sukuk murabahah di bawah KLCC REIT pada suku ini telah menyumbang kepada pengurangan kos pembiayaan,” katanya.

KLCC Property berkata keuntungan segmen pejabat kekal stabil, disokong oleh pengaturan pajakan bersih tiga kali (triple net lease) dan pajakan jangka panjang, manakala segmen peruncitan mencatatkan hasil RM143.7 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM114.3 juta pada suku berkenaan, dipacu kadar sewa yang sihat serta kadar penghunian lebih baik di Menara 3.

“PBT yang lebih tinggi bagi segmen peruncitan mencerminkan kekuatan segmen itu yang dipacu oleh strategi penyusunan campuran penyewa,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, hasil dan PBT segmen perkhidmatan pengurusan masing-masing meningkat 3.9 peratus dan 2.7 peratus, terutama disumbangkan pendapatan tempat letak kereta yang lebih tinggi susulan peluasan operasi parkir serta peningkatan aktiviti perkhidmatan penyelenggaraan berjadual yang dilaksanakan KLCC Urusharta pada suku berkenaan.

Bagi operasi hotel pula, syarikat berkata Mandarin Oriental Kuala Lumpur mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak RM46.7 juta dan kerugian sebelum cukai RM2.2 juta pada suku berkenaan berikutan kerja-kerja pengubahsuaian bilik hotel yang masih berlangsung.

Bagi tempoh enam bulan, keuntungan bersih meningkat kepada RM408.62 juta daripada RM401.93 juta, manakala hasil melonjak kepada RM827.50 juta berbanding RM817.16 juta sebelumnya.

Mengenai prospek, syarikat berkata persekitaran operasi bagi separuh kedua 2026 dijangka kekal mencabar berikutan ketegangan geopolitik yang berlarutan di Asia Barat, yang menyumbang kepada ketidaktentuan harga tenaga, rantaian bekalan dan kos operasi.

“Meskipun berdepan cabaran luaran ini, kumpulan dijangka kekal berdaya tahan, disokong permintaan domestik, pelancongan serta aktiviti berkaitan acara.

“Dalam mengharungi cabaran ini, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi, peningkatan nilai aset serta keupayaan berdepan persekitaran pasaran yang berubah-ubah dan jangkaan pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA