BERITA TERKINI   Masalah kewangan TH mungkin dapat dibendung lebih awal jika amaran BNM ditangani sewajarnya sejak 2014 - Zulkifli | Kerajaan tegaskan simpanan pendeposit TH selamat - MOF | Kerajaan tegaskan kerugian TH yang berpunca daripada salah urus kewangan, pelaburan sebelum 2018 tidak hilang - MOF | Kerajaan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa; keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada pendakwa raya - MOF | Cadangan wujudkan 'multi-agency task force' siasat pelaburan TH yang berisiko kerugian, diteliti untuk pelaksanaan - Zulkifli | 

Anugerah CGC 2025 Iktiraf Daya Tahan PMKS, Penglibatan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Acara Anugerah CGC 2025 edisi ke-31 yang berlangsung hari ini mengiktiraf 32 pencapaian cemerlang dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia serta pemain utama ekosistem kewangan.

Anugerah oleh pihak Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) itu turut menobatkan perniagaan dan pemain industri yang terbukti memaparkan daya tahan, kebolehsuaian serta penyertaan inklusif dalam sektor perusahaan negara.

Pengerusi CGC Datuk Mohammed Hussein berkata daya tahan dalam kalangan perniagaan melangkaui aspek akses kepada tunai dan kredit dengan elemen sikap, disiplin serta kebolehsuaian memainkan peranan penting dalam membantu perusahaan mengharungi cabaran.

Ad Banner

“Daya tahan itu dibangunkan dalam sikap yang dipaparkan pula menerusi angka dan dapat dilihat sewaktu berdepan tekanan. Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) misalnya bergantung kepada kerjasama di seluruh ekosistem yang ada dan ini bukan hanya menjadi tanggungjawab bank-bank.

“Kerajaan perlu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan perniagaan dijalankan manakala institusi penyelidikan sepatutnya membantu dari segi pengkomersialan teknologi.

“Syarikat korporat perlu membuka rantaian bekalan dan institusi kewangan pula harus menyediakan  jambatan atau saluran yang sewajarnya bagi tujuan pertumbuhan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah itu di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

CGC juga telah memperkukuh sokongannya terhadap syarikat-syarikat Bumiputera, termasuk menyalurkan jaminan bernilai RM223 juta kepada 27 syarikat Bumiputera pada tahun lepas.

Pada masa sama, jaminan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya mencecah RM1.2 bilion  berbanding sasaran RM1 bilion pada 2025.

Selain itu, majlis itu menyaksikan penyampaian anugerah merangkumi tiga kategori: Anugerah Rakan Institusi Kewangan Utama (FI) dan Rakan Bukan FI, Anugerah Merit atau Kecemerlangan serta Anugerah PKS.

Anugerah Rakan Kewangan Terbaik diraih Alliance Bank Malaysia Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd manakala OCBC Al-Amin Bank Bhd menerima Anugerah PKS Bumiputera.

Maybank Islamic Bhd diiktiraf sebagai penerima Pengiktirafan Bumiputera Khas manakala Alliance Bank Malaysia Bhd dan Public Bank Bhd pula menerima Rakan FI Utama bagi kategori Institusi Kewangan Konvensional.

Anugerah Rakan FI Utama bagi Institusi Kewangan Islam diraih CIMB Islamic Bank Bhd, OCBC Al-Amin Bank Bhd and Standard Chartered Saadiq Bhd manakala Bank Simpanan Nasional dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd diumumkan sebagai penerima Rakan FI Utama bagi kategori Institusi Kewangan Pembangunan.

Bank Simpanan Nasional turut diumumkan sebagai penerima Rakan FI Utama: anugerah imSME dan Peoplender Sdn Bhd (Fundaztic) meraih anugerah Rakan Bukan FI Utama imSME.

Majlis penyampaian anugerah itu juga menyaksikan pelancaran Skim Jaminan Portfolio (PG) RM10 bilion Bank Negara Malaysia-CGC dan Portfolio Jaminan-i (PG-i) yang dijangka dapat memudah cara pembiayaan dengan jaminan sehingga RM10 bilion untuk kira-kira sebanyak 12,100 PMKS.

Skim yang telah diumumkan pada 3 Jun 2026 itu bertujuan menyokong PMKS dalam sektor ekonomi utama melalui model perkongsian risiko bersama institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Pembiayaan berkenaan direka bagi membantu aspek pengembangan perniagaan, meningkatkan produktiviti, peralihan ke arah kelestarian serta daya saing secara keseluruhan.

Dalam kenyataan bersempena majlis itu, CGC juga memaklumkan pihaknya akan meneruskan usaha di bawah CGC Group 2030 bagi memperluas impaknya terhadap PMKS, memajukan aspek keterangkuman kewangan dan menyokong pembangunan ekonomi mampan menerusi kerjasama berterusan dengan pihak seperti institusi kewangan, agensi kerajaan, syarikat korporat dan usahawan.

-- BERNAMA