BERITA TERKINI   Kerajaan berhasrat tambah peruntukan untuk usahawan kecil dalam Belanjawan 2027 - PM Anwar | Piala ASEAN FIFA: Bangladesh 0-3 Malaysia | Pengarah filem terkenal Tan Sri L. Krishnan meninggal dunia pada usia 103 tahun di Chiang Mai pada Khamis: keluarga | SPRM akan serah notis pengisytiharan harta kepada Datuk Seri Saravanan, isteri dan tiga anaknya Isnin ini - KP SPRM | Tokoh perfileman negara Tan Sri L. Krishnan meninggal dunia semalam di Chiang Mai, Thailand pada usia 104 tahun - KPE FINAS | 

MIHAS 2026: Uzbekistan Lihat Malaysia Sebagai 'Guru Yang Baik' Dalam Industri Halal

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Uzbekistan melihat Malaysia sebagai ‘guru yang baik’, memandangkan negara di Asia Tengah itu sedang mengambil langkah untuk memperkukuhkan sistem pensijilan halal dan membangunkan ekosistem halal yang lebih menyeluruh. 

Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia Dr Karomiddin Gadoev berkata pengalaman luas Malaysia dalam pengeluaran, pensijilan dan pembangunan ekosistem halal menawarkan pengajaran berharga kepada negara itu. 

Ad Banner

“Kami sedang mengorak langkah dalam industri halal, sedangkan Malaysia sudah mempunyai industri halal yang sangat kukuh.

“Oleh itu, kami melihat negara anda (Malaysia) sebagai guru yang baik,” katanya pada temu bual bersama program Bernama Mobile Studio bagi membincangkan topik ‘Penyertaan Pameran di MIHAS 2026 dan Perdagangan Halal Global’.

Beliau berkata Uzbekistan sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menubuhkan badan pensijilan halal, dalam usaha negara itu mendapatkan akses yang lebih meluas bagi produknya ke pasaran Asia Tenggara dan global. 

Ad Banner
Ad Banner

Gadoev menambah, badan pensijilan halal itu merupakan yang kedua seumpamanya di Asia Tengah selepas Kazakhstan dan berpotensi membuka peluang yang lebih meluas kepada pengeluar produk halal di Uzbekistan.

“Pensijilan JAKIM memang terkenal dan diiktiraf di pelbagai negara. Ini akan membuka peluang yang meluas kepada pengeluar produk halal kami, bukan sahaja ke Malaysia tetapi juga Asia Tenggara dan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya. 

Gadoev berkata Uzbekistan juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk bagi memasarkan produk halalnya ke seluruh Asia Tenggara, sambil memanfaatkan kepakaran negara ini dalam pensijilan halal dan pembangunan ekosistem.

“Kedudukan Malaysia yang strategik di tengah-tengah ASEAN, sama seperti Uzbekistan yang terletak di tengah-tengah Asia Tengah, menjadikan kedua-dua negara ini berpotensi sebagai pintu masuk ke rantau masing-masing," katanya.

Beliau berkata Uzbekistan menawarkan pelbagai jenis produk halal, termasuk buah-buahan kering dan segar, produk pertanian yang diproses, daging dan produk daging, konfeksi, farmaseutikal serta kosmetik.

“Terdapat ruang yang luas untuk meningkatkan perdagangan dua hala, yang bernilai US$128 juta pada 2025, dengan eksport Malaysia merangkumi bahagian yang lebih besar.

“Peluang turut tersedia bagi Malaysia untuk meningkatkan eksport produk makanan, buah-buahan tropika, daging, bahan ramuan makanan, minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit ke Uzbekistan.

“Pada masa sama, ia boleh berperanan sebagai hab pengedaran serantau bagi produk Malaysia di Asia Tengah, iaitu pasaran yang melibatkan lebih 120 juta penduduk,” katanya.

-- BERNAMA