Untung Bersih MR DIY Suku Kedua 2026 Susut Kepada RM134.40 Juta
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- MR DIY Group (M) Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM134.40 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM158.58 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM1.25 bilion daripada RM1.21 bilion sebelumnya, didorong pengembangan berterusan rangkaian kedai kumpulan yang meningkat 7.2 peratus daripada 1,502 kedai pada 30 Jun 2025 kepada 1,610 kedai pada 30 Jun 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memaklumkan keuntungan bersih bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 susut kepada RM326.43 juta daripada RM332.73 juta, manakala hasil meningkat kepada RM2.63 bilion daripada RM2.47 bilion.
“Kumpulan mengisytiharkan jumlah dividen interim sebanyak RM0.033 sesaham, terdiri daripada dividen interim RM0.013 sesaham dan dividen interim tambahan RM0.02 sesaham.
“Jumlah dividen yang diisytiharkan bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 berjumlah RM464.4 juta, bersamaan nisbah pembayaran sebanyak 142.3 peratus daripada keuntungan selepas cukai,” katanya.
MR DIY memaklumkan kumpulan itu akan meneruskan strategi pengembangan yang terukur dan berdisiplin, berpandukan ekonomi peringkat kedai yang mampan serta peruntukan modal secara berhemat.
-- BERNAMA