Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Didorong Belian Saham Pada Harga Rendah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, disokong aktiviti belian saham pada harga rendah selepas mengalami penurunan baru-baru ini, meskipun prestasi Wall Street yang lemah memberi petunjuk sebaliknya.
Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.04 mata kepada 1,737.41 daripada paras penutup 1,735.37 pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.04 mata lebih tinggi pada 1,735.41.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 217 berbanding 200, manakala 335 kaunter tidak berubah, 2,023 tidak diniagakan dan 13 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 227.28 juta saham bernilai RM138.70 juta.
Dalam nota hari ini, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata Wall Street ditutup rendah semalaman apabila jangkaan terhadap rundingan antara AS dan Iran semakin pudar, sekali gus mencetuskan semula kebimbangan mengenai potensi gangguan terhadap bekalan minyak global.
“Harapan yang semakin tipis terhadap penyelesaian itu mencetuskan lonjakan harga tenaga, dengan minyak mentah Brent melonjak menghampiri US$88.00 setong,” katanya.
Wall Street ditutup rendah dengan Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) susut 0.11 peratus kepada 53,975.98 mata. S&P 500 turun 0.06 peratus kepada 7,753.11 mata, manakala Nasdaq Composite merosot 0.32 peratus kepada 26,605.36 mata.
Bagi dagangan hari ini, Rakuten Trade menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,730 hingga 1,740 mata dengan kecenderungan positif, namun berhati-hati.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare meningkat 11 sen kepada RM8.46, manakala Public Bank dan CIMB Group masing-masing susut satu sen kepada RM5.17 dan RM7.91. Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM14.36, manakala Maybank tidak berubah pada RM10.66.
Bagi kaunter paling aktif, Dagang NeXchange susut setengah sen kepada 49.5 sen, TWL Holdings meningkat setengah sen kepada 2.5 sen, Zetrix AI tidak berubah pada 70.5 sen, AMS Advanced Material meningkat tiga sen kepada 49 sen, manakala NationGate Holdings kekal pada RM1.54.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Allianz Malaysia meningkat 20 sen kepada RM22.40, manakala Sunway Construction dan IHH Healthcare masing-masing naik 11 sen kepada RM8.31 dan RM8.46. YTL Power International meningkat sembilan sen kepada RM4.77, manakala Gamuda naik lapan sen kepada RM4.52.
Bagi kaunter rugi utama, Petronas Gas dan Hong Leong Industries masing-masing susut 10 sen kepada RM17.26 dan RM17.78. SD Guthrie turun lapan sen kepada RM6.75, Ajinomoto Malaysia susut enam sen kepada RM18.94, manakala Pjbumi turun lima sen kepada RM3.80.
Dalam kalangan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.94 mata kepada 12,884.41, Indeks FBM Top 100 naik 16.30 mata kepada 12,700.16, Indeks FBM Mid 70 menokok 29.57 mata kepada 18,402.95 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 23.49 mata kepada 12,739.00, manakala Indeks FBM ACE susut 12.18 mata kepada 5,144.14.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 4.40 mata kepada 770.04, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.46 mata kepada 188.62. Sebaliknya, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 12.68 mata kepada 20,406.78 dan Indeks Perladangan turun 21.96 mata kepada 9,498.53.
-- BERNAMA