Hasil MGS Dijangka Kekal Stabil Menjelang Makluman Data Penting Minggu Depan -- Kenanga IB
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) secara amnya kekal stabil dan mencatat pergerakan dalam julat kecil menjelang pengumuman data ekonomi penting pada minggu depan.
Perkembangan itu juga dijangka disokong oleh keadaan geopolitik yang makin reda, sekali gus dapat menyokong sentimen pasaran.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu memaklumkan tumpuan pasaran akan beralih kepada pengumuman data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang turut memberi isyarat dasar selanjutnya menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
“Permintaan asing kekal memberangsangkan dengan aliran masuk dana asing bernilai RM2.7 bilion ke dalam pasaran bon Malaysia pada minggu lepas.
“Pada masa sama, pelabur asing turut kembali ke Bursa Malaysia dengan aliran masuk bersih ekuiti RM127 juta ke Bursa Malaysia, sekali gus mengakhiri aktiviti jualan ketara selama enam minggu berturut-turut,” maklumnya.
Menurut Kenanga IB, di peringkat luaran, pasaran akan memberi tumpuan ke atas pengumuman data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) dan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE).
Perkembangan berkaitan lanjutan gencatan perdagangan AS-China serta rundingan berterusan antara AS dan Iran juga telah menyokong sentimen risiko global.
Selain itu, Kenanga IB juga menjangkakan hasil Perbendaharaan AS kekal cenderung meningkat menjelang pengumuman indeks harga PCE dan data utama lain bagi negara maju berkenaan.
Ini termasuk data tawaran kerja dan kaji selidik berkaitan tenaga kerja, pusingan ganti tenaga kerja AS, guna tenaga oleh Automatic Data Processing (ADP), senarai gaji bukan perladangan (NFP), kadar pengangguran, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta PMI sektor pembuatan oleh Institute for Supply Management (ISM).
“NFP dijangka meningkat sekitar 100,000 manakala bacaan teras PCE bagi bulan ke bulan sebanyak 0.3 peratus yang diunjurkan konsensus, mengukuhkan lagi jangkaan kadar faedah negara maju itu kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.
“Perkembangan rundingan AS-Iran bagi pembukaan semula Selat Hormuz juga dilihat mampu meredakan kebimbangan mengenai bekalan tenaga serta mengekang kenaikan hasil bon selanjutnya,” maklum Kenangan IB.
-- BERNAMA