BERITA TERKINI   Pengarah filem terkenal Tan Sri L. Krishnan meninggal dunia pada usia 103 tahun di Chiang Mai pada Khamis: keluarga | SPRM akan serah notis pengisytiharan harta kepada Datuk Seri Saravanan, isteri dan tiga anaknya Isnin ini - KP SPRM | Tokoh perfileman negara Tan Sri L. Krishnan meninggal dunia semalam di Chiang Mai, Thailand pada usia 104 tahun - KPE FINAS | Malaysia tamatkan penantian 36 tahun raih emas acara regu berpasukan lelaki sepak takraw Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 | SPR adakan mesyuarat khas pada 7 Okt ini, bincang tarikh penting PRN Melaka | 

PNB Sasar Pelaburan Aset Peralihan, Hijau RM15 Bilion Bawah Rangka Kerja Kemampanan 2026

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyasarkan untuk menyalurkan RM15 bilion ke dalam pelaburan aset hijau, peralihan dan RM500 juta ke dalam pelaburan impak sosial menjelang 2030 di bawah Rangka Kerja Kemampanan 2026 (SF 2026) yang baru diumumkan.

Ditunjangi oleh 16 sasaran yang boleh diukur, rangka kerja itu berpaksikan pada tiga bidang strategik yang terdiri daripada Memacu Kemampanan Organisasi, Tadbir Urus Bertanggungjawab dan Memperkukuh Agenda Pembinaan Negara.

PNB berkata rangka kerja itu bertujuan untuk menyepadukan lagi pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi aktiviti pelaburan, operasi serta pengawasannya.

Ad Banner

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Rizal Rickman Ramli berkata SF 2026 dibina berdasarkan rangka kerja kemampanan yang diperkenalkan pada 2022, yang mana syarikat pengurusan dana itu telah mencapai lapan daripada 10 sasaran yang ditetapkan secara progresif.

“Oleh itu, SF 2026 bukanlah satu perubahan asas, sebaliknya merupakan kesinambungan daripada usaha yang telah dilaksanakan. Kami menyambung hayat teras yang telah diperkukuh sepanjang empat tahun lalu dan menetapkan tahap yang lebih tinggi untuk diri kami, dengan penekanan yang lebih besar terhadap pelaburan bertanggungjawab, pengurusan jangka panjang, impak sosial dan pembangunan negara,” katanya melalui satu kenyataan hari ini. 

Di bawah sasarannya sebelum ini, PNB telah mencapai sasaran Perusahaan Sifar Bersih 2025, manakala 100 peratus penggunaan tenaga elektrik untuk Perusahaan PNB telah disokong oleh sijil tenaga boleh baharu.

Ad Banner
Ad Banner

Ia turut melabur sebanyak RM8.1 bilion dalam aset hijau dan peralihan, di samping usaha memperkukuh amalan di tempat kerja dan pelaburan bertanggungjawab merentas portfolionya.

Rizal berkata sebagai sebuah institusi yang diamanahkan dengan simpanan berjuta-juta rakyat Malaysia, PNB perlu memastikan nilai yang dihasilkannya berkekalan merentas generasi sambil menyumbang kepada Malaysia yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Di bawah Memacu Kemampanan Organisasi, PNB akan mengekalkan pelepasan sifar bersih Skop 1 dan Skop 2, mengurangkan pelepasan tidak langsung daripada perjalanan perniagaan selain mengukuhkan perolehan mampan, sambil menyokong aspirasi jangka panjangnya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

Melalui Tadbir Urus Bertanggungjawab, PNB akan memanfaatkan kedudukannya untuk menggalakkan perniagaan yang lebih kukuh dan mampan., dengan sasaran penyahkarbonan portfolio, daya tahan terhadap perubahan iklim, pertimbangan berkaitan alam semula jadi dan biodiversiti, serta amalan pekerjaan yang adil dan saksama, termasuk prinsip hak buruh dan gaji kehidupan wajar.

Teras ketiga, Memperkukuh Agenda Pembinaan Negara, ia akan menumpukan kepada rangkuman sosial dan kewangan melalui inisiatif meliputi pembangunan bakat, biasiswa, pelaburan komuniti, celik kewangan, pemeliharaan warisan serta impak sosial yang lebih luas, kata PNB.

 

Rangka kerja itu mencerminkan pendekatannya untuk melaburkan simpanan rakyat Malaysia secara bertanggungjawab untuk menjana nilai yang mampan sambil memastikan impak akhirnya mengalir kembali kepada rakyat Malaysia melalui pelaburan yang lebih mantap, peluang ekonomi, rangkuman kewangan, pendidikan dan pembangunan sosial.

Syarikat pengurusan dana itu mempunyai lebih RM360 bilion aset di bawah pengurusan, dengan pelaburan merangkumi syarikat Malaysia, ekuiti global, pelaburan swasta dan hartanah.

-- BERNAMA