Sheng Long Labur RM140 Juta Bina Kilang Makanan Akuakultur Pertamanya Di Malaysia - Exco
IPOH, 10 Ogos (Bernama) -- Syarikat berkaitan bidang pertanian dan penternakan Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn Bhd (Sheng Long) melabur sebanyak RM140 juta untuk membina kilang makanan ternakan akuakultur pertamanya di Malaysia yang dijadual memulakan operasi pada 2028 di Kamunting, Taiping.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata majlis pecah tanah kilang itu hari ini sekali gus mencerminkan keyakinan syarikat terhadap kelebihan Perak sebagai destinasi strategik bagi pembangunan sektor pembuatan dan pelaburan.
"Kilang ini akan menghasilkan makanan ternakan akuakultur berkualiti tinggi dan dilengkapi dengan dua talian pengeluaran makanan udang serta dua talian pengeluaran makanan ikan dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 tan metrik.
"Projek ini dijangka dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Malaysia dan pasaran negara jiran di samping dapat mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia serta memperkukuhkan keupayaan pembuatan tempatan dan daya tahan rantaian bekalan," katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pecah tanah pembinaan kilang tersebut.
Teh berkata kerajaan negeri melalui InvestPerak akan terus bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi menyediakan sokongan penuh dan membantu syarikat melabur dengan yakin serta berkembang di Perak.
Sheng Long adalah anak syarikat Guangdong Haid Group Co. Ltd. (Guangdong Haid) berpangkalan di China yang merupakan syarikat global dalam bidang pertanian serta penternakan dipacu inovasi teknologi.
Pengurus Besar Sheng Long Chuang Jie Cheng berkata melalui pelaburan tersebut syarikat itu menyasar menghasilkan makanan ternakan akuakultur berkualiti tinggi, menyediakan rantaian bekalan yang lebih stabil serta sokongan teknikal komprehensif bagi membantu para penternak meningkatkan produktiviti dan keuntungan.
"Kami berharap dapat berkembang bersama industri akuakultur Malaysia serta menyumbang kepada pembangunan mampan sektor ini untuk jangka panjang," katanya.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Sumber) MIDA Surayu Susah berkata agensi itu mengalu-alukan komitmen Sheng Long untuk memindahkan pengetahuan dan kepakaran teknikal kepada bakat Malaysia yang dapat membantu memperkukuh keupayaan negara dalam pembuatan makanan ternakan canggih.
Selain itu, katanya, komitmen syarikat tersebut untuk membangunkan rantaian bekalan tempatan yang lebih kukuh juga akan menyediakan peluang besar bagi perniagaan tempatan untuk menyertai aktiviti pembuatan bernilai lebih tinggi.
"Visi Sheng Long sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030, yang bertujuan untuk memperkukuh sektor perkilangan Malaysia melalui inovasi, penggunaan teknologi dan aktiviti perindustrian bernilai lebih tinggi.
"Projek ini juga mewujudkan peluang untuk kerjasama yang lebih erat antara industri, ahli akademik dan institusi penyelidikan. Perkongsian sedemikian dapat mempercepat inovasi, memperkukuh keupayaan tempatan dan menyokong industri akuakultur yang lebih berdaya tahan," katanya.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan Sheng Long merupakan satu langkah penting untuk ekosistem agri-makanan negara yang dapat membantu meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan, mengurangkan pergantungan kepada makanan ternakan yang diimport dan memperkukuh keterjaminan makanan negara dan daya tahan rantaian bekalan.
"Selain sumbangan ekonomi, projek ini bakal mewujudkan pekerjaan yang berkualiti, memudahkan pemindahan teknologi dan pengetahuan serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam pembuatan moden," katanya menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan MIDA, Sheng Long dan InvestPerak.
Menurut kenyataan itu pelaburan tersebut diraih di tengah-tengah momentum berterusan dalam sektor pembuatan makanan Malaysia, yang menarik RM3.3 bilion pelaburan diluluskan pada suku pertama 2026, menjadi antara industri utama dalam keseluruhan RM24.1 bilion pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan.
Pertumbuhan berterusan sektor ini menunjukkan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh sebagai hab serantau untuk pembuatan berasaskan sumber bernilai tinggi dan mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap ekosistem agri-makanan negara, maklum kenyataan itu.
-- BERNAMA