BERITA TERKINI   Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abdul Rahman Hamid meninggal dunia hari ini - Presiden PVRTM | Ewon Benedick kekal Presiden UPKO bagi penggal 2026-2029 | Wong Chen umum letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini | PM Anwar kini jalani rawatan fisioterapi, pastikan proses pemulihan berjalan baik - Ketua Pasukan Perubatan PM | PM Anwar selamat jalani pembedahan laparoskopi secara elektif, rawat hernia perut - Ketua Pasukan Perubatan PM | 

KDNK Tumbuh Positif, Bukti Daya Tahan Ekonomi Negara Harungi Ketidaktentuan - Ahli Akademik

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Ahli akademik berpendapat anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026 merupakan perkembangan positif yang mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia dalam persekitaran global yang masih tidak menentu.

Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Abdul Rahim Ridzuan berkata pertumbuhan itu tidak hanya disumbangkan oleh satu sektor, sebaliknya dipacu oleh pelbagai aktiviti ekonomi termasuk sektor perkhidmatan dan pembuatan yang kekal menjadi antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh melihat angka KDNK itu semata-mata sebagai bukti bahawa ekonomi kita benar-benar kukuh. Kita perlu melihat kepada aspek kualiti pertumbuhan berkenaan.

Ad Banner

"Sebagai contoh, adakah pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan produktiviti? Adakah pelaburan yang masuk menghasilkan teknologi baharu dan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan? Adakah pekerjaan yang diwujudkan merupakan pekerjaan bernilai tinggi dengan gaji yang lebih baik? Ini antara persoalan yang perlu kita lihat dari segi kualiti pertumbuhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam talian program Fokus15 terbitan Bernama TV bertajuk RCI Tabung Haji: Mengukur Kos Keyakinan terhadap Ekonomi hari ini.

Sebelum ini pada 17 Julai lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2026 yang menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus selepas mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut DOSM, prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mengalami penguncupan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual mengumumkan data KDNK rasmi suku kedua Malaysia pada Jumaat ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata ukuran penting dalam menilai kejayaan agenda ekonomi adalah sejauh mana pelaburan yang masuk mampu menghasilkan nilai tambah yang kekal dalam ekonomi Malaysia.

Sebagai contoh katanya, jika pelaburan besar masuk tetapi syarikat tempatan masih lagi berperanan sebagai pembekal kos rendah, limpahan ekonomi yang Malaysia terima sebenarnya belum mencapai tahap maksimum.

"Tetapi jika pelaburan itu membawa masuk teknologi, meningkatkan kemahiran pekerja dan membuka peluang kepada vendor tempatan, ia akan membantu lebih banyak syarikat di Malaysia menjadi lebih kompetitif di peringkat antarabangsa dan memberikan kesan ekonomi yang lebih besar,” tambahnya.

-- BERNAMA