BERITA TERKINI   Gamuda Bhd peroleh projek pembinaan pusat data hiperskala bernilai RM1.71 bilion di Port Dickson daripada syarikat MNC AS | Sindiket edar dadah guna katrij vape tumpas, pelbagai jenis dadah bernilai RM10.68 juta dirampas - Polis Johor   | Dua lagi suspek ditahan termasuk dalang kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dibungkus di sebuah sungai di Batu Pahat - Polis Johor | 

Shell Luluskan FID Fasa 3 Malikai, Pengeluaran Minyak Naik 60 Peratus

KOTA KINABALU, 5 Ogos (Bernama) -- Sabah Shell Petroleum Company Ltd (SSPC) telah meluluskan keputusan pelaburan akhir (FID) bagi meneruskan pembangunan fasa ketiga medan air dalam Malikai di luar pesisir Sabah.

Shell dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek itu melibatkan penggerudian empat telaga pengeluaran minyak bagi meningkatkan anggaran rizab minyak boleh diperoleh semula di medan berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap pembangunan sumber air dalam Malaysia.

Menurutnya, apabila siap kelak, Fasa 3 dijangka meningkatkan pengeluaran minyak Malikai sebanyak 60 peratus kepada kira-kira 40,000 tong sehari berbanding sekitar 25,000 tong sehari ketika ini.

Ad Banner

Pengeluaran daripada Fasa 3 dijadual bermula pada suku ketiga 2028.

Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia Siti Sulaiman berkata keputusan pelaburan akhir itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen jangka panjang Shell terhadap Malaysia.

"Keputusan pelaburan akhir bagi pembangunan Malikai Fasa 3 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen jangka panjang Shell terhadap Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Kami berharap dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi pelaburan dalam projek yang berdaya saing dan berdaya tahan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Petronas dan rakan kongsi atas keyakinan serta sokongan berterusan mereka. Saya berharap dapat terus memperkukuh kerjasama erat ini demi kejayaan negara pada masa depan," katanya.

SSPC ialah pengendali pembangunan Malikai yang mula mengeluarkan minyak pada 2016. Terletak kira-kira 100 kilometer dari pesisir Sabah, Malikai merupakan platform kaki tegang (tension leg platform) pertama di Malaysia.

Malikai, aset air dalam kedua Shell di Malaysia, dimiliki secara bersama oleh Sabah Shell Petroleum Company Ltd (SSPC) dan Shell Sabah Selatan Sdn Bhd yang secara kolektif memegang kepentingan sebanyak 35 peratus, ConocoPhillips Sabah Ltd (35 peratus) serta Petronas Carigali Sdn Bhd (30 peratus).

Fasa 3 akan menggunakan teknologi single combo riser, iaitu sistem paip menegak bersepadu yang menghubungkan telaga dasar laut dengan platform pengeluaran, seperti yang pertama kali diperkenalkan pada Fasa 1 Malikai dan kemudiannya digunakan dalam Fasa 2 pada 2021.

-- BERNAMA