BERITA TERKINI   Kebakaran hutan Indonesia: Menteri Luar telah diarahkan untuk koordinasi bantuan - TPM Ahmad Zahid | Kebakaran hutan Indonesia: Prabowo beri kebenaran Malaysia hantar bantuan - TPM Ahmad Zahid | Tim Nukleus Angkatan Siber dilancar sebagai langkah mewujudkan cabang keempat ATM, depani ancaman peperangan era digital - Menteri Pertahanan | Institusi pondok perlu didedahkan kepada AI yang berpotensi besar sebagai alat dakwah dan pembangunan umat Islam - PM | Beberapa institusi pondok akan dipilih menjadi perintis tradisi ilmu baharu mengikut pengkhususan, disiplin masing-masing - PM | 

Ringgit Dibuka Tinggi Sedikit Berbanding Dolar AS Susulan Data Ekonomi AS Lemah

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong data ekonomi negara maju itu yang lemah daripada jangkaan sehingga memberi tekanan kepada mata wang berkenaan.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.0940/0995 berbanding dolar AS  4.0945/0985 ketika ditutup pada Selasa.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata laporan Job Openings and Labour Turnover Survey (JOLTS) AS menunjukkan kekosongan jawatan berkurangan bagi bulan kedua berturut-turut kepada 7.36 juta pada Jun berbanding 7.54 juta pada Mei.

"Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.01 peratus kepada 99.890 mata. Susulan laporan JOLTS itu, ringgit dijangka menerima sedikit sokongan hari ini.

"Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.08 hingga RM4.10," katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dijangka diniagakan dengan kecenderungan lebih kukuh, disokong aliran masuk modal yang berterusan ke dalam sektor teknologi Asia serta sentimen risiko global yang kekal positif.

Bagaimanapun, katanya, pengukuhan ringgit dijangka terhad apabila pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati menjelang laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang akan diumumkan pada Jumaat.

"Pasaran mata wang secara keseluruhannya terus bergerak dalam julat terhad walaupun selera risiko bertambah baik dan harga minyak merosot ketara, dengan keadaan itu mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengambil pendirian dasar monetari yang lebih longgar.

"Cabarannya ialah penurunan harga minyak turut mempengaruhi prospek dasar monetari bank-bank pusat lain, walaupun pada kadar yang berbeza-beza. Apabila pasaran mengambil kira jangkaan dasar monetari bank pusat masing-masing, perbezaan pergerakan antara mata wang utama semakin mengecil menjelang laporan NFP pada Jumaat,” katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit, bagaimanapun diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 2.5952/5989 daripada 2.5929/5956 ketika ditutup pada Selasa, rendah berbanding euro kepada 4.7212/7275 daripada 4.7120/7166, dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5060/5134 daripada 5.5034/5088.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1932/1980 daripada 3.1899/1932, serta susut berbanding baht Thailand kepada 12.3113/3330 daripada 12.2487/2654.

Mata wang tempatan itu turut rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 227.1/227.5 daripada 227.1/227.4, namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.69/6.70.

-- BERNAMA