BERITA TERKINI   Sistem percukaian dunia perlu bergerak seiring dengan landskap ekonomi yang semakin cenderung ke arah pendigitalan - Amir Hamzah | Polis tahan tiga lelaki susulan penemuan mayat dibungkus dan dililit jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Batu Pahat semalam | 

MITI Belum Terima Maklumat Rasmi Status Pelaburan BYD Di Tanjung Malim - Johari

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) belum menerima sebarang maklumat rasmi setakat ini sama ada pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD akan meneruskan pelaburan di Tanjung Malim, Perak atau mengambil langkah sebaliknya.

Menteri berkenaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sebarang keputusan oleh BYD perlu mengambil kira syarat yang telah ditetapkan kerajaan.

“Sebarang keputusan untuk meneruskan, menangguhkan atau mengubah pelan pelaburan adalah keputusan komersial syarikat terbabit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai perkembangan terkini loji pemasangan BYD di Malaysia sebagai pengeluar EV yang telah memenuhi keperluan lokalisasi bagi melayakkan kadar cukai keutamaan di bawah skim pemasangan tempatan (CKD) dan senarai pengeluar yang telah memulakan pelaburan fizikal di Malaysia termasuk pembinaan loji.

Johari berkata kerajaan akan terus menggalakkan aktiviti CKD EV menerusi pemberian pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan CKD sehingga 31 Dis 2027.

Bagaimanapun, katanya kelayakan menikmati insentif itu tertakluk kepada pematuhan terhadap peruntukan di bawah Peraturan Kastam 1988 serta syarat lain yang ditetapkan kerajaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata beberapa pengeluar automotif telah melaksanakan pelaburan fizikal di Malaysia melalui pembinaan dan pengoperasian kilang pemasangan tempatan.

Selain Proton dan Perodua, katanya pengeluar peralatan asal (OEM) yang mempunyai kilang pemasangan sendiri di Malaysia adalah Honda Malaysia Sdn Bhd di Pagoh, Johor; Assembly Services Sdn Bhd bagi jenama Toyota di Bukit Raja, Selangor dan Volvo Car Manufacturing Malaysia Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor.

Selain itu, adalah Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd di Segambut, Kuala Lumpur dan Serendah, Selangor; Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor serta Stellantis Malaysia Sdn Bhd di Gurun, Kedah.

Menurut Johari, Malaysia turut mempunyai syarikat pemasangan pihak ketiga secara kontrak yang menjalankan aktiviti pemasangan bagi pihak OEM termasuk Inokom Corporation Sdn Bhd di Kulim, Kedah; Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd di Pekan, Pahang; Berjaya Assembly Sdn Bhd di Tebrau, Johor, dan EP Manufacturing Bhd di Melaka.

“Senarai ini menunjukkan Malaysia mempunyai kapasiti pemasangan dan pengeluaran automotif yang kukuh melibatkan pengeluar nasional, pengeluar antarabangsa serta syarikat pemasangan pihak ketiga.

“Kerajaan akan terus memantau tahap penggunaan kapasiti sedia ada dan memastikan setiap pelaburan baharu benar-benar menyumbang kepada peningkatan nilai tambah domestik, pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi, pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan aktiviti eksport,” katanya.

Menurutnya langkah itu penting bagi memastikan kapasiti pengeluaran negara dimanfaatkan secara optimum dan terus menyokong pembangunan industri automotif yang berdaya saing serta mampan.

-- BERNAMA