BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

PKS Malaysia Perlu Sesuaikan Produk, Strategi Pemasaran Tembusi Pasaran China

Daripada Siti Fauziah Hasan

NANNING (China), 18 Sept (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang ingin menembusi pasaran China perlu menyesuaikan produk, pembungkusan dan strategi pemasaran mengikut cita rasa tempatan bagi meningkatkan penerimaan produk serta daya saing.

Pengarah Pemasaran Antarabangsa China-ASEAN Mercantile Exchange (CAMEX) Philip Chong berkata penyesuaian itu penting bagi memenuhi keperluan pengguna China yang berubah, termasuk kecenderungan terhadap produk lebih sihat serta budaya membeli barangan sebagai hadiah.

Ad Banner

“Di China, pengguna semakin mementingkan kesihatan. Produk yang terlalu manis secara amnya kurang mendapat sambutan, jadi kami mengesyorkan syarikat mengurangkan kandungan gula pada kadar yang bersesuaian.

“Bagi sesetengah produk yang bersaiz terlalu besar, kami turut mengesyorkan supaya saiznya dikecilkan agar lebih sesuai untuk kegunaan harian atau dijadikan hadiah,” katanya kepada media antarabangsa di CAMEX di sini hari ini.

Beliau berkata pembungkusan juga penting kerana ramai pengguna China membeli barangan untuk dijadikan hadiah. Oleh itu, aspek penampilan, saiz dan kualiti pembungkusan perlu disesuaikan dengan amalan pemberian hadiah masyarakat tempatan.

Ad Banner

Chong berkata penyesuaian produk mengikut keperluan pasaran tempatan terbukti berkesan, dengan beberapa produk Malaysia berjaya menembusi pasaran di bandar seperti Shanghai dan mencatat prestasi jualan yang baik.

Beliau berkata antara produk Malaysia yang mendapat sambutan di pasaran China ialah biskut, produk hiliran durian dan coklat, yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.

Malaysia juga mempunyai kelebihan ketara dalam industri koko, dengan bahan mentah koko berkualiti tinggi menjadi antara daya tarikan utama kepada pengguna China, manakala produk kopi Malaysia turut mempunyai potensi untuk terus berkembang di pasaran China, katanya.

Chong turut menekankan kepentingan penceritaan dalam mempromosikan produk Malaysia, khususnya produk yang mempunyai latar belakang budaya tempatan yang kukuh.

Beliau berkata sesetengah produk berteraskan budaya Malaysia mungkin tidak dapat difahami sepenuhnya oleh pengguna China pada peringkat awal, terutama dari segi keunikan dan nilai budaya yang terkandung dalam produk berkenaan.

“Sekadar menjual produk menyukarkan produk itu untuk menonjol. PKS perlu menerangkan dengan jelas proses pengeluaran, tradisi dan kisah budaya di sebalik produk mereka supaya pengguna dapat memahami dan menghargainya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata bahan pembungkusan dan reka bentuk produk hendaklah, sedapat mungkin, memenuhi piawaian dan keperluan pasaran China.

Chong berkata PKS Malaysia yang ingin memasuki pasaran China turut boleh memanfaatkan platform CAMEX yang menghimpunkan pelbagai sumber bagi membantu perniagaan mengembangkan operasi mereka.

Beliau berkata platform itu turut menempatkan persatuan perdagangan dan perniagaan, bank serta firma guaman yang menyediakan perkhidmatan termasuk pemadanan sumber, terjemahan bahasa asing, pendaftaran syarikat dan pembungkusan produk berasaskan kecerdasan buatan (AI).

CAMEX menempatkan 18 pavilion yang mempamerkan perdagangan dan budaya tempatan, termasuk dari negara-negara ASEAN, selain menyediakan platform bagi syarikat China meneroka pasaran luar negara dan syarikat asing memasuki pasaran China.

Di Pavilion Malaysia, elemen budaya seperti seni bina rumah tradisional Melayu dan batik berwarna-warni diterapkan dalam reka bentuk pavilion bagi menyerlahkan identiti dan ciri budaya tempatan Malaysia.

-- BERNAMA