Pengeluaran Lebih Tinggi, Eksport Lemah Terus Beri Tekanan Kepada Niaga Hadapan MSM
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan penurunan pada Jumaat, ditutup lebih rendah susulan unjuran pengeluaran yang lebih tinggi, kata seorang penganalisis.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata hujan di Kalimantan baru-baru ini yang membantu mengurangkan beberapa kawasan titik panas, berpotensi menyokong pengeluaran minyak sawit.
“Harga turut menerima tekanan susulan kelemahan harga tenaga, jualan besar-besaran dalam pasaran minyak sayuran serta niaga hadapan minyak sayuran dan minyak kacang soya,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah eksport minyak sawit Malaysia yang lebih lemah, pengeluaran yang lebih tinggi setakat ini pada September serta keputusan Indonesia untuk mengekalkan mandat biodiesel B50 pada 2027 turut menjejaskan harga niaga hadapan MSM.
Sementara itu, Pedagang Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng menyatakan sentimen pasaran terjejas susulan penurunan harga minyak kacang soya dan minyak mentah.
Sewaktu berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent susut 0.93 peratus kepada US$103.80 setong.
Ng menambah kelemahan eksport baru-baru ini turut menjejaskan harga komoditi berkenaan.
“Kami melihat harga sokongan pada paras melebihi RM4,900 manakala harga rintangan berada pada RM5,050,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak Oktober 2026 susut RM14 kepada RM4,698 setiap tan manakala kontrak November 2026 merosot RM32 kepada RM4,800 setiap tan dan kontrak Disember 2026 turun RM38 kepada RM4,898 setiap tan.
Sementara itu, kontrak Januari 2027 susut RM45 kepada RM4,983 setiap tan, Februari 2027 berkurang RM54 kepada RM5,054 setiap tan manakala Mac 2027 turun RM56 kepada RM5,113 setiap tan.
Jumlah dagangan berkurang kepada 122,261 lot daripada 137,371 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka susut kepada 339,480 kontrak daripada 348,305 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk September Selatan kekal tidak berubah pada RM4,650 setiap tan.
-- BERNAMA