Penurunan Harga Minyak Mungkin Sementara Susulan Rundingan AS-Iran Goyah

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Penurunan ketara harga minyak mentah global berkemungkinan bersifat sementara ketika sentimen pasaran kekal sensitif terhadap perkembangan berkaitan cadangan rundingan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata ahli ekonomi.

Setakat 7.36 malam ini, Brent susut 5.12 peratus kepada US$83.52 setong manakala minyak mentah AS West Texas Intermediate turun 5.80 peratus kepada US$79.76 setong.

Ad Banner

Brent sebelum ini melonjak ke paras US$94.68 setong pada 22 Julai 2026 daripada US$71.57 setong pada 1 Julai 2026.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan harga minyak itu adalah susulan kenyataan Presiden Donald Trump bahawa rundingan baharu dengan Iran dijangka  bermula pada 3 Ogos 2026.

“Kenyataan berkenaan sekali gus meningkatkan harapan mengenai kemungkinan persetujuan dapat dicapai bagi membuka semula Selat Hormuz yang meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan tenaga global,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata sukar dipastikan sama ada aliran penyusutan harga minyak itu adalah bagi tempoh lebih panjang memandangkan rundingan baharu itu yang kekal goyah.

“Presiden Trump diketahui cenderung membuat pengumuman mengejut yang boleh menjejaskan sentimen pasaran dan menjadikan aliran semasa kepada sebaliknya,” katanya.

Mohd Afzanizam juga menjangkakan harga minyak mentah mungkin kekal tidak menentu ketika sebarang kebuntuan dalam proses diplomatik atau ketegangan geopolitik yang terus memuncak, boleh mengundang risiko dan menyebabkan harga minyak melonjak semula.

Pada Ahad, Trump bertindak mengumumkan rundingan baharu dengan Iran bermula pada Isnin selepas memutuskan untuk menangguhkan serangan tentera AS dalam usaha menangani program nuklear Iran serta pembukaan semula Selat Hormuz.

-- BERNAMA