BERITA TERKINI   Pendirian kerajaan terhadap rasuah tidak berubah, semua kes termasuk kes Najib terus diproses mengikut undang-undang - Fahmi | Pengampunan bersyarat kepada Najib tidak jejas ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa - PM Anwar | Majlis Halal ASEAN: Malaysia tawar jadi sekretariat, Indonesia sebagai pengerusi pertama - TPM Ahmad Zahid | Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Zahid sifatkan tahanan rumah sebagai perkembangan bermakna, seru ahli UMNO hormati proses ditetapkan | Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancarkan di Malaysia pada Sept 2027, sempena dengan Bulan Halal Kebangsaan - TPM Ahmad Zahid | 

Bekalan Bahan Api Di Stesen Petronas Dijangka Stabil Dan Mencukupi Sehingga September

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Bekalan bahan api di rangkaian stesen minyak Petronas seluruh negara dijangka stabil dan mencukupi sehingga bulan September, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata rangkaian ini merangkumi kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api domestik negara yang dibekalkan oleh Petronas melalui anak syarikat tersenarai awamnya, Petronas Dagangan Bhd.

Perkara tersebut seperti dilaporkan di dalam mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara bertarikh 29 Julai, dikeluarkan hari ini.

Ad Banner

Azalina berkata bagi memastikan keperluan bahan api negara mencukupi dan menyelaraskan usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah MTEN sentiasa memantau situasi bekalan bahan api, bahan bakar, dan tenaga untuk negara serta memastikan keterjaminan bekalan di bulan-bulan akan datang serta mengawal harga dan mencegah aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

"Usaha terus dijalankan untuk memperoleh bekalan minyak mentah dari pengekspot selain Asia Barat seperti dari Afrika Barat dan Benua Amerika, tertakluk kepada kesesuaian gred minyak mentah dan terma komersial berkaitan," katanya.

Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang bertanyakan tahap kelestarian jangka panjang serta kepelbagaian sumber petroleum negara, dan apakah strategi Petronas dalam memastikan keselamatan tenaga negara berdepan peningkatan penggunaan bahan api domestik.

Ad Banner

Menjawab mengenai soalan Low tentang jumlah rizab minyak mentah dan gas asli di Malaysia serta anggaran jangka hayat rizab masing-masing berdasarkan kadar pengeluaran semasa, beliau berkata menurut Petronas, anggaran jumlah rizab minyak mentah di Malaysia adalah sebanyak 3.89 bilion tong minyak setara, manakala anggaran jumlah rizab gas asli adalah sebanyak 13.19 bilion tong minyak setara sehingga 1 Januari, 2026.

Berdasarkan anggaran jumlah rizab seperti yang dinyatakan di atas, anggaran jangka hayat untuk pengeluaran rizab masing-masing adalah melebihi 20 tahun, kata Azalina.

-- BERNAMA