Pulau Pinang Sasar Terminal Jeti Swettenham Jadi Pelabuhan Pangkalan Utama Sebahagian Rantau
GEORGE TOWN, 18 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang mahu menjadikan Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) berperanan lebih besar dalam rangkaian pelayaran serantau dengan terminal itu kini berupaya menampung dua kapal persiaran bersaiz Quantum secara serentak sehingga 12,000 penumpang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata kapasiti yang diperluas itu menyediakan asas yang kukuh untuk Pulau Pinang membangunkan SPCT sebagai pangkalan operasi pelabuhan pangkalan utama sebahagian rantau yang dapat melengkapi Singapura.
Menurutnya, Pulau Pinang dan Singapura yang terletak di sepanjang Selat Melaka mempunyai kelebihan tersendiri yang saling melengkapi dan lebih kukuh dalam sektor pelancongan pelayaran berbanding persaingan secara langsung.
“Pulau Pinang tidak perlu menggantikan Singapura sebagai pelabuhan pangkalan utama kapal persiaran sedia ada di rantau ini.
“Sebaliknya Pulau Pinang boleh melengkapi Singapura dengan menyediakan lebih banyak pilihan bagi pengendali kapal persiaran untuk urusan menaiki dan menurunkan penumpang selain menyokong pelancongan pelayaran di seluruh Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas menyertai Cruise World Asia 2026 di Singapura.
Wong memberitahu Singapura kekal sebagai satu daripada pasaran sumber utama Pulau Pinang bagi pelancongan kapal persiaran serta hab penting yang menghubungkan rangkaian kapal persiaran serantau.
Beliau menyatakan Singapura menduduki tempat pertama dalam kalangan pasaran sumber bagi penumpang kapal persiaran antarabangsa di SPCT iikuti oleh Amerika Syarikat, India, China, Jerman, Indonesia, United Kingdom, Korea Selatan dan Australia.
Wong berkata perkembangan itu menunjukkan pasaran pelancongan pelayaran Pulau Pinang semakin pelbagai merangkumi pasaran Asia Tenggara serta pasaran utama di Amerika Utara, Asia Selatan, Asia Timur dan Eropah.
Pulau Pinang terus menambah baik infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan SPCT bagi memperkukuh kedudukannya sebagai pelabuhan kapal persiaran antarabangsa serta menarik lebih banyak pengendali kapal persiaran untuk memasukkan Pulau Pinang dalam laluan pelayaran serantau mereka, tambahnya.
Beliau memberitahu, aspirasi negeri itu adalah untuk bergerak melangkaui peranan sekadar sebagai pelabuhan persinggahan.
Pihaknya juga mahu menggalakkan lebih ramai penumpang kapal persiaran untuk memulakan atau menamatkan perjalanan pelayaran di Pulau Pinang serta meluangkan lebih banyak masa di negeri itu sebelum atau selepas pelayaran mereka.
“Matlamat kami bukan sekadar untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat persinggahan kapal persiaran.
“Kami juga mahu Pulau Pinang menjadi titik permulaan perjalanan pelayaran yang membolehkan lebih ramai pelancong menaiki atau menamatkan perjalanan mereka di sini sambil meluangkan lebih banyak masa dan menerokai tarikan-tarikan di negeri ini,” tambah beliau.
Wong berkata peralihan sedemikian daripada pelabuhan singgahan kepada pelabuhan pelepasan serta daripada persinggahan singkat kepada tempoh penginapan yang lebih lama mampu merancakkan manfaat ekonomi yang lebih luas daripada pelancongan kapal persiaran.
Ini merangkumi perkhidmatan penginapan, makanan, perbelanjaan membeli-belah, pengangkutan dan perbelanjaan pelancongan.
Mengenai kelebihan daya saing Pulau Pinang, beliau menjelaskan kedudukan strategik SPCT membolehkan penumpang berjalan kaki secara terus ke George Town, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO sebaik sahaja turun dari kapal.
Dalam pada itu, tarikan seperti Kota Cornwallis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Muzium Negeri Pulau Pinang yang baharu dinaik taraf serta dibuka semula terletak dalam jarak berjalan kaki dari terminal berkenaan.
“Biarpun dengan hanya beberapa jam di Pulau Pinang, penumpang kapal persiaran tetap dapat merasai pengalaman sejarah negeri ini yang berusia ratusan tahun, warisan berbilang budaya serta ciri-ciri bandar yang unik dalam jadual perjalanan yang padat,” tambah beliau.
Wong berkata Pulau Pinang akan terus memperkukuh kerjasama dengan pengendali kapal persiaran, pelabuhan dan rakan kongsi serantau bagi membolehkan negeri ini memainkan peranan yang lebih aktif dalam rangkaian kapal persiaran Asia Tenggara.
“Pelancongan kapal persiaran bukan lagi satu persaingan yang berat sebelah antara pelabuhan.
“Pelabuhan perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk mewujudkan kerjasama dan saling melengkapi seterusnya mencipta hasil yang saling menguntungkan bagi ekosistem kapal persiaran serantau yang lebih luas,” jelasnya.
-- BERNAMA