BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

RCI Tabung Haji Cadang Bonus TH Properties RM2.19 Juta Ditarik Balik

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mencadangkan bonus yang diberi kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan TH Properties berjumlah RM2.19 juta ditarik balik memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurut Laporan RCI Tabung Haji yang diterbitkan malam ini, suruhanjaya itu telah meneliti dokumen dan minit mesyuarat berkaitan isu pembayaran bonus kepada ahli lembaga pengarah dan kakitangan tertentu TH Properties.

"Bayaran bonus yang diberikan kepada ahli lembaga pengarah TH Properties dan kakitangan tertentu pada 2017 dan 2018 adalah atas alasan projek pembangunan di Australia terutamanya “The Bay Pavillion” memberikan sumbangan kewangan yang ketara kepada TH Properties pada 2016 dan 2017.

Ad Banner

"Suruhanjaya mendapati beberapa orang terpilih diberikan bonus istimewa dengan jumlah sebanyak RM1,148,400 pada 2017 dan RM1.045 juta pada 2018," menurut laporan itu.

Selain itu, suruhanjaya itu menjelaskan terdapat pembayaran bonus yang tinggi kepada kakitangan Lembaga Tabung Haji (LTH).

"Semakan suruhanjaya mendapati kadar bonus yang diberikan kepada kakitangan LTH adalah amat tinggi pada 2010 hingga 2017. 

Ad Banner

"Kadar bonus yang diberikan adalah antara dua hingga 13 bulan termasuk bonus tahunan dan bonus khas," tambah RCI.

Lazimnya Menteri Hal Ehwal Agama dan Kementerian Kewangan (MOF) hanya akan menerima cadangan pemberian bonus seperti yang disyorkan oleh pengurusan LTH dan lembaga pengarahnya.

"Ini termasuk ketika cadangan pemberian bonus luar biasa pada 2014 pada kadar satu hingga 11 bulan gaji bagi bonus tahunan dan dua bulan gaji bonus khas dengan jumlah keseluruhan boleh mencecah 13 bulan gaji yang melibatkan peruntukan sebanyak RM74 juta. 

Suruhanjaya berpendapat, mengambil kira isu kewangan yang dihadapi oleh LTH bermula pada 2014 hingga 2017 apabila nilai aset lebih rendah daripada lialibiliti seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui oleh Jabatan Audit Negara, ia membuktikan pemberian bonus dengan jumlah yang tinggi oleh LTH adalah tidak wajar.

Justeru, RCI Tabung Haji menyarankan amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan hendaklah dihentikan.

-- BERNAMA