AirAsia Jangka Bahan Api Jet US$160-US$190 Setong, Mungkin Semak Tambang Pada US$250 – Fernandes
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- AirAsia Group Bhd kini menjangkakan harga bahan api jet antara US$160 dan US$190 setong dan mungkin menyemak semula tambang penerbangan sekiranya harga meningkat kepada US$250 setong, kata Pengasas bersama merangkap Penasihat AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.
“Buat masa ini, saya menjangkakan harga minyak antara US$160 dan US$190 setong dan keadaan kami stabil. Sudah tentu, jika harga meningkat kepada US$250 setong, saya perlu menyemak semula tambang,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai perkembangan perniagaan AirAsia hari ini.
Fernandes berkata AirAsia telah melaraskan tambangnya dengan mengambil kira harga bahan api jet sehingga kira-kira US$180 setong, namun masih mempunyai ruang untuk menaikkannya lagi jika diperlukan.
“Saya masih fikir kita perlu menaikkannya jika perlu. Bukan itu yang kami mahu lakukan, tetapi saya fikir masih banyak ruang dari segi keanjalan permintaan sebelum kenaikan itu menjejaskan pasaran,” katanya.
Mengenai kemungkinan kenaikan tambang seterusnya menjejaskan permintaan perjalanan, Fernandes berkata permintaan kekal berdaya tahan, dengan AirAsia merekodkan faktor muatan sekurang-kurangnya 80 peratus.
“Jika anda membandingkan tambang penerbangan kami pada 2019 dengan tambang sekarang, peningkatannya agak besar. Permintaan tidak berubah, yang merupakan sesuatu yang baik. Ini menunjukkan bahawa orang ramai masih mahu terbang walaupun tambang penerbangan meningkat 20 hingga 25 peratus.
“Faktor muatan kami ialah 80 peratus dan ke atas, yang agak baik. Kami mahu meningkatkannya kepada 90 peratus dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapainya,” katanya.
Mengenai operasi di Malaysia, Fernandes berkata AirAsia Malaysia kekal sebagai perniagaan terbesar dan terkuat kumpulan itu, dengan pesawat tambahan dijangka ditempatkan tidak lama lagi.
“Malaysia ialah pasaran terbesar dan terkuat kami, dan perniagaannya sangat kukuh. Kami akan menambah pesawat tidak lama lagi.
“Di Malaysia, kami mempunyai 60 peratus bahagian pasaran, yang kami jangkakan akan meningkat kepada 70 peratus,” katanya.
AirAsia Group mencatat kerugian bersih RM830.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 selepas purata harga bahan api jet meningkat kepada US$183 setong, manakala perbelanjaan bahan api melonjak 58 peratus tahun ke tahun.
Keputusan suku tahunan itu turut merangkumi kerugian pertukaran asing sebanyak RM331 juta. Tidak mengambil kira kesan pertukaran asing, kumpulan itu mencatat kerugian bersih RM499.6 juta.
Menurut keputusan kewangan kumpulan, operasi teras jarak dekatnya di Malaysia kekal mencatat keuntungan pada suku berkenaan, manakala tekanan kewangan tertumpu pada operasi jarak jauh di Malaysia serta perniagaan jarak dekat kumpulan di Thailand, Indonesia dan Filipina.
Saham AirAsia susut lebih 70 peratus sejak awal tahun susulan kebimbangan terhadap harga bahan api jet yang tinggi serta kedudukan kewangan kumpulan.
Fernandes berkata armada operasi kumpulan itu kini hampir dipulihkan sepenuhnya, dengan baki pesawat dijangka kembali beroperasi menjelang Oktober.
“Kami perlu mengembalikan 250 pesawat untuk beroperasi. Proses itu masih belum selesai sepenuhnya dan kira-kira 10 pesawat lagi dijangka selesai dipulihkan menjelang Oktober,” katanya.
Beliau berkata AirAsia turut memulangkan 25 pesawat lama yang kurang cekap penggunaan bahan api kepada pemberi pajakan bagi mengurangkan obligasi pajakan dan kos operasi.
-- BERNAMA