Malaysia Kekal Pasaran Utama Scoot Susulan Permintaan Perjalanan Udara Kukuh

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) – Malaysia kekal sebagai pasaran utama bagi Scoot, syarikat penerbangan tambang murah di bawah Kumpulan Singapore Airlines (SIA), didorong oleh permintaan berterusan bagi perjalanan percutian dan perniagaan.

Ketua Pegawai Komersil Sccot, Calvin Chan berkata syarikat itu kini menawarkan 12 destinasi di Malaysia, dengan menyediakan 130 penerbangan mingguan antara kedua-dua negara.

Ad Banner

Chan berkata syarikat penerbangan itu juga telah meluaskan operasinya di Asia Tenggara, pelbagai destinasi baharu dan meningkatkan kekerapan ke lokasi sedia ada.

“Setakat akhir Jun 2026, Scoot mengendalikan rangkaian 85 destinasi di 18 negara dan wilayah,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Syarikat penerbangan itu kini mengendalikan lebih 60 pesawat, merangkumi 24 Boeing 787 Dreamliner, 30 pesawat Airbus A320 dan pelbagai model lain serta sembilan jet Embraer E190-E2.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2026, Scoot telah menerbangkan lebih 2.2 juta penumpang ke dan dari destinasi Malaysia, mewakili peningkatan sekitar 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata jumlah ketibaan pelancong yang tinggi, hasil daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 turut membantu menjadikan Malaysia sebagai destinasi dinamik, di sebalik persaingan sengit dalam segmen penerbangan tambang murah.

Gabungan faktor-faktor ini menghasilkan permintaan kukuh bagi perjalanan udara antara Malaysia dan Singapura, katanya.

Malaysia terus memainkan peranan strategik dalam rangkaian syarikat penerbangan itu, disokong oleh hubungan ekonomi dan sosial yang erat antara Putrajaya dan Singapura.

Beliau berkata Malaysia berperanan sebagai sumber penting bagi trafik penerbangan terus dari tempat asal ke destinasi akhir serta penumpang transit ke dalam rangkaian Kumpulan SIA yang lebih luas melalui Singapura.

Ketibaan pelancong kekal sangat teguh, dengan Malaysia terus menjadi destinasi pelancongan utama bagi pengembara dari Singapura.

“Dalam dua bulan pertama tahun 2026, seramai 3.4 juta pelawat Singapura telah melancong ke Malaysia, merangkumi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong antarabangsa,” katanya.

Setakat ini, Scoot menyediakan 12 destinasi di Malaysia merangkumi Ipoh, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi, Melaka, Miri, Pulau Pinang, Sibu dan Subang.

Ini menjadikan Scoot satu-satunya syarikat penerbangan asing menawarkan jumlah destinasi yang banyak di Malaysia.

Chan berkata laluan Kuala Lumpur-Singapura terus menjadi salah satu koridor udara antarabangsa tersibuk di dunia, dengan permintaan kekal berdaya tahan merentasi segmen perjalanan percutian dan perniagaan.

Beliau berkata prospek pelancongan Malaysia dijangka mendapat dorongan seterusnya daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan Scoot berada dalam kedudukan baik untuk menyokong aspirasi pelancongan negara melalui rangkaian serantau yang luas.

Untuk memanfaatkan pertumbuhan dijangkakan, Scoot telah memeterai rakan kongsi strategik tiga tahun dengan Tourism Malaysia pada Ogos 2025 untuk mempromosikan negara secara bersama di merentasi pasaran utama, termasuk Singapura, China, Australia dan Indonesia.

Beliau berkata tempoh kerjasama tersebut adalah sehingga 2028, bertujuan untuk memacu ketibaan pelawat antarabangsa melalui inisiatif pemasaran bersama dengan pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan.

Chan menambah bahawa Scoot kini mengendalikan tujuh penerbangan seminggu ke Subang menggunakan pesawat keluarga Airbus A320 dan akan terus menilai peluang untuk meluaskan kehadirannya di Malaysia berdasarkan permintaan perjalanan, pertimbangan operasi dan strategi rangkaian terasnya.

 

Asia Tenggara kekal enjin pertumbuhan

Selain Malaysia, Chan berkata Asia Tenggara akan terus menjadi enjin pertumbuhan utama Scoot bagi beberapa tahun akan datang, didorong oleh peningkatan pendapatan boleh guna, perluasan infrastruktur lapangan terbang dan kecenderungan pelancong yang semakin meningkat terhadap perjalanan jarak dekat yang menawarkan tambang berpatutan.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu telah meluaskan operasi serantaunya secara berterusan sepanjang tahun lepas.

Dalam tempoh tersebut, Scoot telah melancarkan perkhidmatan ke Chiang Rai dan Palembang pada bulan Januari, diikuti oleh Medan dan Tokyo Haneda pada bulan Februari dan Mac, sebelum menambah destinasi lain seperti Belitung dan Pontianak di Indonesia pada bulan Mei dan Jun.

Scoot juga meningkatkan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi di seluruh rantau ini, termasuk Bali, Jakarta, Labuan Bajo, Lombok, Manado, Phuket dan Sibu, sambil meningkatkan perkhidmatan ke Changsha, Okinawa dan Vienna sebagai maklum balas kepada permintaan yang semakin meningkat.

Chan berkata syarikat penerbangan itu akan terus meneruskan perluasan yang berdisiplin dan berasaskan permintaan merentasi pasaran jarak dekat, sederhana dan jauh serta mengekalkan rangkaian mampan dari segi komersial dan terpelbagai.

 

Pelaburan armada dan digital

Menyentuh mengenai armadanya, Chan berkata pesawat Embraer E190-E2 membolehkan Scoot pergi ke bandar-bandar sekunder dan lapangan terbang dengan kekangan infrastruktur dan sebagai pelengkap kepada armada Airbus A320 dan Boeing 787 yang lebih besar.

Pada Mei tahun ini, Scoot mengumumkan pesanan bagi lima pesawat pelbagai model Airbus termasuk Airbus A320neo dan menggunakan pilihan untuk tambahan enam pesawat, menjadikan jumlah tempahan pesawat itu kepada 20 pesawat.

Pesawat tambahan itu, dijadualkan untuk penghantaran secara berperingkat bermula dari tahun 2028, akan memberikan fleksibiliti lebih besar untuk menempatkan kapasiti di merentasi pasaran rantau, melancarkan laluan baharu dan mengukuhkan ketersambungan ke dalam rangkaian Kumpulan SIA yang lebih luas, kata Chan.

Walaupun pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Scoot kekal penting bagi operasi jarak sederhana dan jauh yang merangkumi destinasi di Australia, Asia Utara, India Utara, Timur Tengah dan Eropah, Chan berkata tiada rancangan serta-merta untuk meluaskan armada badan lebar syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, selain perluasan rangkaian dan armada, Scoot akan terus melabur dalam pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi dan menambah baik pengalaman pelanggan.

Antara inisiatif dijalankan termasuk penambahbaikan kepada pembantu secara maya dikuasakan kecerdasan buatan (AI) bernama “Marvie”, perluasan keupayaan layan diri di lapangan terbang, fungsi khidmat pelanggan berteraskan AI dan sistem operasi berteraskan teknologi direka untuk meningkatkan produktiviti, mengukuhkan pengurusan gangguan dan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar.

-- BERNAMA