MISC Diunjur Catat Pendapatan CAGR Sebanyak 12 Peratus Dalam Tempoh Tiga Tahun

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Syarikat maritim, MISC Bhd diunjur akan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun sebanyak 12 peratus, didorong oleh penambahan 19 aset dan sumbangan lebih kukuh daripada milik penuh kapal pengangkut gas asli cecair (LNG), menurut AmInvestment Bank Research (AmInvestment Bank). 

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan memaklumkan bahawa 19 aset dijangka menyertai armada MISC, termasuk tujuh kapal pengangkut LNG milik penuh yang dijadualkan untuk penghantaran antara 2026 dan 2028, berbanding 12 kapal usaha sama yang telah dihantar setakat ini.

“Selain fasa penghantaran semasa, tempahan kapal pengangkut LNG akan menurun secara ketara. Harga binaan baharu telah meningkat kepada US$244 juta, menyokong pembaharuan carter (sewa khas) masa depan. Ini meningkatkan halangan kemasukan dan mengukuhkan nilai penggantian,” menurut MISC susulan Hari Pelabur MISC 2026 yang diadakan baru-baru ini.

Ad Banner

AmInvestment Bank memaklumkan bahawa kebimbangan mengenai potensi caj susut nilai kelihatan berlebihan, dengan risiko semakin terhad kepada kapal turbin stim yang sudah berusia, selain itu permintaan yang meningkat untuk LNG di rantau Asia dijangka menyokong permintaan perkapalan LNG.

Nota penyelidikan itu turut menyatakan bahawa segmen petroleum dijangka memacu pertumbuhan pendapatan jangka pendek MISC, manakala perniagaan luar persisir dijangka menyokong fasa pengembangan seterusnya.

Menurut bank pelaburan itu, kadar untuk kapal tangki minyak mentah bersaiz sangat besar (VLCC) meningkat mendadak pada akhir Jun, kadar bagi kapal tangki Suezmax terus meningkat dan kadar kapal tangki Aframax kekal di atas purata terdahulu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, RHB Research dalam satu nota penyelidikan memaklumkan bahawa pihak pengurusan MISC menjangkakan kadar kapal tangki kekal tinggi, disokong oleh jarak pelayaran lebih jauh dan permintaan berasaskan tan-batu yang lebih kukuh, walaupun lonjakan awal berikutan konflik Asia Barat sebahagian besarnya telah ditetapkan harga.

“LNG kekal sebagai tonggak pertumbuhan utama MISC, dengan 19 kapal pengangkut LNG dijadualkan untuk penghantaran dan segmen gas dijangka menjadi setara dengan petroleum dari segi sumbangan hasil menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

Menurut RHB Research, pihak pengurusan MISC menegaskan bahawa perkembangan geopolitik baru-baru ini tidak mengubah strategi jangka panjang syarikat itu, dengan keputusan pelaburan terus ditentukan oleh asas pasaran jangka panjang.

“MISC juga akan mengekalkan campuran portfolionya iaitu kira-kira 80 peratus aset berkontrak jangka panjang dan 20 peratus pendedahan pasaran spot untuk mengimbangkan keterlihatan pendapatan dengan potensi keuntungan daripada pasaran spot yang lebih kukuh,” menurut nota penyelidikan itu.

AmInvestment Bank dan RHB Research telah mengekalkan saranan “Buy” ke atas MISC, masing-masing dengan harga sasaran RM9.50 dan RM9.71.

-- BERNAMA