Indeks Pelopor Meningkat 0.8 Peratus Pada Mei 2026
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Prospek ekonomi Malaysia kekal positif pada Mei 2026 dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan pertumbuhan 0.8 peratus kepada 114.4 mata berbanding 113.5 mata dalam tempoh sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata peningkatan indeks itu dipacu oleh prestasi positif beberapa komponen, terutamanya penawaran wang benar M1 (9.2 peratus) serta import benar semikonduktor (2.7 peratus).
Menurut jabatan itu, prestasi berkenaan selaras dengan mudah tunai ekonomi yang stabil serta pengembangan aktiviti pengeluaran berkaitan komponen elektronik.
"Namun begitu, dari perspektif bulanan, IP mencatatkan penurunan 0.5 peratus pada Mei 2026 susulan penyederhanaan dalam tiga daripada tujuh komponen.
"Meneliti trend arah aliran jangka panjang terlicin pada Mei 2026, IP kekal berada di bawah 100.0 mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, ekonomi Malaysia dijangka berdaya tahan disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran global dan perkembangan teknologi semasa.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa meningkat 2.5 peratus, mencatatkan 131.2 mata pada Mei 2026 berbanding 128.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan dalam hampir kesemua komponen, kecuali kapasiti penggunaan dalam pembuatan.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, IS menurun 0.3 peratus pada Mei 2026 berikutan prestasi yang perlahan dalam beberapa komponen terutamanya kapasiti penggunaan dalam pembuatan (-0.4 peratus), mencerminkan penyederhanaan dalam aktiviti ekonomi semasa berikutan ketidakpastian global yang berterusan.
-- BERNAMA