IHP-Semua Barangan Singapura Naik 1.7 Peratus Pada Separuh Pertama 2026
Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 23 Julai (Bernama) -- Indeks Harga Pengguna (IHP)-Semua Barangan isi rumah di Singapura meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada separuh pertama 2026, berbanding peningkatan 0.9 peratus pada separuh kedua 2025.
Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat) memaklumkan inflasi IHP-Semua Barangan bagi kumpulan pendapatan 20 peratus terendah, 60 peratus pertengahan dan 20 peratus tertinggi masing-masing mencatatkan 1.2 peratus, 1.8 peratus dan 1.6 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2026.
"Pada separuh pertama 2026, barangan perbelanjaan yang menyumbang lebih besar kepada peningkatan IHP-Semua Barangan untuk ketiga-tiga kumpulan pendapatan isi rumah ialah makanan, kereta, insurans kesihatan, penginapan dan petrol.
“Bagaimanapun, kenaikan harga bagi komponen itu sebahagiannya diimbangi oleh kos yang lebih rendah untuk pendidikan am, vokasional dan pengajian tinggi, serta elektrik,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) dalam satu kenyataan bersama yang berasingan memaklumkan inflasi teras Singapura meningkat kepada 1.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Jun daripada 1.4 peratus pada Mei 2026, dipacu oleh peningkatan dalam inflasi makanan, perkhidmatan, serta barangan runcit dan barangan lain.
IHP-Semua Barangan meningkat kepada 1.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Jun daripada 1.8 peratus pada Mei, disebabkan oleh inflasi penginapan yang lebih tinggi, di samping peningkatan dalam inflasi teras.
Kenyataan bersama itu memaklumkan apabila kos tenaga yang lebih tinggi diserap secara beransur-ansur ke dalam rantaian bekalan global, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan bagi pelbagai jenis barangan serta perkhidmatan yang diimport Singapura dari semasa ke semasa.
Ketidaktentuan ekonomi juga menyebabkan perbelanjaan pengguna di negara itu boleh menjadi lebih berhati-hati.
“Mengambil kira faktor-faktor berkenaan, inflasi teras MAS dan inflasi IHP-Semua Barangan diunjurkan secara purata antara 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2026,” tambahnya.
-- BERNAMA