Pasaran Getah Ditutup Tinggi
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Khamis, seiring dengan kenaikan pasaran niaga hadapan getah serantau dan lonjakan harga minyak mentah.
Seorang peniaga berkata sentimen pasaran turut meningkat didorong oleh data ekonomi China yang positif apabila pendapatan fiskal negara itu naik 4.7 peratus pada separuh pertama 2026, meningkat daripada paras dalam tempoh sebelumnya dan menunjukkan aktiviti ekonomi meningkat.
“Bagaimanapun, momentum kenaikan dikekang oleh ringgit yang tinggi berbanding dolar AS dan geopolitik yang berterusan di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata dolar AS yang rendah berbanding mata wang utama menyokong pasaran komoditi dengan kuasa beli meningkat dalam kalangan pembeli yang menggunakan mata wang lain dan menggalakkan permintaan untuk komoditi dalam denominasi dolar.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 7.5 sen kepada 906.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah satu sen kepada 723.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA