Penubuhan Simpanan Petroleum Negara Tepat Masanya, Susulan Ketegangan Geopolitik Berulang - Penganalisis
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Langkah Malaysia mengkaji penubuhan Simpanan Petroleum Negara (NPR) adalah tepat pada masanya berikutan ketegangan geopolitik yang berulang di laluan perkapalan utama dunia, sekali gus menyerlahkan keperluan memperkukuh ketahanan tenaga negara untuk jangka panjang, menurut penganalisis.
Selat Hormuz, yang menjadi laluan kira-kira 20 juta tong cecair petroleum sehari atau sekitar satu perlima daripada bekalan global, semakin dilihat sebagai sumber gangguan berulang dan bukannya sekadar titik panas geopolitik terpencil.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Selat Hormuz tidak lagi wajar dianggap sebagai kejutan sekali sahaja berikutan ancaman berulang, kelewatan perkapalan, peningkatan kos insurans serta kekangan ketersediaan kapal tangki yang terus mengekalkan premium risiko dalam pasaran tenaga global.
"Saya berpandangan keadaan ini semakin bersifat struktur. Tekanan mungkin meningkat atau berkurangan, namun ia tidak mungkin hilang sehingga rangkaian saluran paip yang lebih meluas, laluan eksport alternatif dan laluan pintasan lain dibangunkan.
"Proses itu akan mengambil masa bertahun-tahun, justeru Selat Hormuz berkemungkinan kekal sebagai sumber ketidaktentuan berulang," katanya kepada Bernama.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengkaji keperluan dan strategi mewujudkan stok Simpanan Petroleum Negara (NPR) sebagai langkah memastikan keselamatan tenaga serta memperkukuh ketahanan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan global.
Dalam perkembangan berkaitan, sekutu Houthi Iran di Yaman dilaporkan telah menyelesaikan persiapan untuk menyerang kapal yang melalui pintu masuk selatan Laut Merah, sebelum mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ke atas dua kapal tangki minyak Arab Saudi susulan gelombang baharu serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap sasaran ketenteraan Iran.
Innes berkata serangan yang dilaporkan itu mengukuhkan lagi keperluan mendesak bagi kerajaan Asia Tenggara memperkukuh ketahanan tenaga memandangkan risiko kini tidak lagi terhad kepada Selat Hormuz.
Beliau memberi amaran bahawa gangguan serentak di laluan perkapalan Teluk dan Laut Merah boleh mendedahkan rantau ini kepada kenaikan harga minyak, kos pengangkutan serta kelewatan bekalan.
"Keutamaan segera ialah mengkaji semula stok simpanan strategik bahan api, mempelbagaikan pembekal minyak mentah, produk petroleum bertapis dan gas asli cecair (LNG), selain memperkukuh penyelarasan ASEAN berkaitan paras stok, gangguan perkapalan dan pengaturan bekalan kecemasan," katanya.
Setakat laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 2.97 peratus kepada US$96.86 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) naik 1.93 peratus kepada US$88.76 setong.
Innes turut menggesa kerajaan menilai semula pemberian subsidi bahan api secara menyeluruh, dengan menyatakan bantuan bersasar kepada isi rumah berpendapatan rendah dan industri kritikal lebih mampan sekiranya harga minyak kekal tinggi.
Beliau berkata keselamatan tenaga memberi tumpuan kepada usaha memastikan akses kepada bekalan tenaga, manakala ketahanan tenaga merujuk kepada keupayaan sistem tenaga untuk terus berfungsi apabila bekalan biasa atau laluan pengangkutan terganggu.
Menurut beliau, keadaan itu memerlukan stok simpanan sokongan, kepelbagaian pembekal, laluan perkapalan alternatif, grid elektrik yang lebih kukuh serta keupayaan beralih antara sumber bahan api sebelum krisis berlaku.
Menyentuh mengenai Malaysia, Innes menyifatkan Simpanan Petroleum Negara sebagai "perlindungan kecemasan" yang seharusnya melengkapi, bukannya menggantikan, stok simpanan petroleum komersial.
"Ia tidak dapat menyelesaikan setiap masalah bekalan, namun mampu memberi pembuat dasar masa berharga untuk bertindak ketika krisis," katanya sambil menambah bahawa simpanan itu perlu menjadi sebahagian daripada strategi lebih menyeluruh, termasuk mempelbagaikan pembekal, menambah baik infrastruktur penyimpanan serta menetapkan peraturan jelas mengenai pelepasan dan pengisian semula stok simpanan.
Innes turut menggesa Malaysia mempelbagaikan pembekal bahan api dan laluan pengangkutan, menyokong pengeluaran gas domestik yang berdaya maju dari segi komersial, memperkukuh kesalinghubungan grid tenaga serantau serta mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu yang disokong sistem penyimpanan bateri dan penjanaan kuasa sandaran yang boleh dipercayai.
Sementara itu, penganalisis minyak dan gas BMI Tariro Chiweza berkata kajian kerajaan Malaysia mengenai penubuhan NPR adalah tepat pada masanya memandangkan stok simpanan petroleum komersial direka untuk memastikan kesinambungan operasi, namun mungkin tidak mencukupi bagi menghadapi gangguan bekalan luar yang berpanjangan.
Beliau berkata walaupun Malaysia mengeluarkan kira-kira 570,000 tong minyak sehari, negara ini masih merupakan pengimport bersih bahan api bertapis dan memperoleh 69.2 peratus import minyak mentahnya pada 2025 daripada pembekal yang berkaitan dengan Selat Hormuz.
"Pada pandangan kami, keperluan untuk mewujudkan NPR kini semakin kukuh sebagai sebahagian daripada strategi ketahanan yang lebih menyeluruh," katanya.
Chiweza berkata Malaysia perlu terus memperluas pengeluaran gas domestik, tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan bateri, kesalinghubungan grid serantau, elektrifikasi dan tenaga nuklear, sambil menyatakan bahawa inisiatif sedia ada seperti Solar@PETRA, Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), biodiesel B15 dan pengangkutan awam elektrik menyokong matlamat memperkukuh ketahanan tenaga.
Beliau berkata BMI mengunjurkan pengeluaran gas asli kering Malaysia mencecah 82.3 bilion meter padu pada 2026, sekali gus mengukuhkan asas bekalan domestik negara seiring usaha peralihan tenaga.
-- BERNAMA