Penilaian Keperluan Stok Simpanan Strategik Panjangkan Tempoh Bekalan Petroleum Negara
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Langkah kepelbagaian sumber bekalan dan penilaian keperluan stok simpanan strategik adalah penting bagi memanjangkan tempoh daya tahan bekalan petroleum negara melangkaui tempoh operasi semasa, menurut Kementerian Ekonomi.
Kementerian itu menjelaskan, tahap daya tahan bekalan operasi negara pada masa ini adalah bersandarkan stok sedia ada dalam rantaian bekalan komersial iaitu stok operasi di peringkat runcit dan stesen minyak iaitu dalam sekitar tiga hari.
Dalam pada itu, jelasnya, komitmen stok pusingan daripada syarikat pedagang bagi bekalan minyak mentah adalah sekitar dua bulan.
Tempoh ini, menurut kementerian itu mencerminkan amalan pengurusan inventori tepat pada masa yang diamalkan pada waktu ini dan ia menjadi satu daripada asas utama kepada keperluan kerajaan untuk mengkaji stok petroleum bagi memastikan keterjaminan bekalan negara.
"Sehubungan itu, pelan kontingensi kerajaan bagi memastikan kesinambungan bekalan minyak melepasi Ogos 2026 adalah menerusi kepelbagaian sumber bekalan petroleum serta pengoptimuman bekalan bahan api domestik melalui biodiesel.
"Pelan itu juga merangkumi usaha memperkukuh kawalan ketirisan dan penguatkuasaan selain pemantauan berpandukan data, kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian Ekonomi menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai pelan keterjaminan tenaga jangka panjang memandangkan jaminan bekalan bahan api negara setakat diumumkan hanya mencukupi sehingga Julai 2026.
Kementerian itu turut menjawab pertanyaan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam yang mahu mengetahui status kapasiti Rizab Strategik Petroleum (SPR) serta pelan jangka panjang untuk memperluas infrastruktur penyimpanan strategik.
Ia menjelaskan bekalan minyak mentah dan produk petroleum Malaysia diurus melalui ekosistem pembekalan yang melibatkan pelbagai syarikat minyak bagi memastikan bekalan domestik yang berterusan.
Dalam hubungan SPR, jelas kementerian itu, kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh pelbagai model dan pendekatan bagi memperkukuh daya tahan bekalan petroleum negara.
"Ini termasuk menilai implikasi fiskal, keperluan operasi, struktur tadbir urus serta mengambil kira pengalaman dan amalan terbaik negara lain.
"Penilaian ini turut mengambil kira keseimbangan di antara tahap daya tahan bekalan yang ingin dicapai dengan keberkesanan kos serta kesesuaian dengan struktur pasaran dan kapasiti negara," tambah kementerian itu.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi menjawab pertanyaan Senator Tuan Che Alias Hamid mengenai sejauh manakah perjanjian bekalan tenaga dengan Rusia yang bakal ditandatangani selaras dengan sasaran NETR.
Kementerian itu memaklumkan komitmen dan jaminan perjanjian bekalan bahan api jangka panjang (petrol, diesel, minyak mentah dan gas) untuk tempoh 20 tahun yang dicapai bersama Rusia baru-baru ini selaras, saling melengkapi dan tidak bercanggah dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Jaminan bekalan jangka panjang daripada Rusia bertindak sebagai jaring keselamatan domestik bagi meminimumkan risiko gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan harga pasaran global akibat krisis geopolitik,” jelasnya.
Dari sudut mengurangkan kebergantungan kepada import fosil, strategi dasar luar pragmatik kerajaan termasuk kerjasama serentak dengan Turkmenistan bagi akses blok telaga gas, kementerian itu menjawab, ia sebenarnya bertujuan mempelbagaikan sumber.
-- BERNAMA