Penjimatan Subsidi Diesel Dimanfaatkan Semula Bagi Perkukuh Program Bantuan Bersasar - MOF

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Penjimatan yang terhasil daripada pelaksanaan subsidi diesel bersasar tidak disimpan sebagai lebihan fiskal, sebaliknya dimanfaatkan semula untuk memperkukuh program bantuan bersasar, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF memaklumkan ruang fiskal yang diwujudkan hasil penjimatan itu digunakan untuk memperkukuh program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelbagai inisiatif lain.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan pemantauan harga barang dan penguatkuasaan secara berterusan untuk memastikan manfaat subsidi dan bantuan sampai kepada golongan sasar serta mengurangkan ketirisan.

Ad Banner

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan Program BUDI MADANI dan melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian dari semasa ke semasa untuk memastikan bantuan disalurkan secara adil, berkesan dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” tambah MOF dalam jawapan lisan Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.

MOF menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai langkah susulan kerajaan selepas penetapan harga diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter bagi memastikan penurunan kos operasi turut diterjemahkan kepada penurunan harga barangan dan perkhidmatan.

Sementara itu, kementerian berkenaan menyatakan pelaksanaan subsidi diesel bersasar menerusi pembaharuan BUDI MADANI Diesel (Budi Diesel) membawa kepada dua impak utama iaitu menjamin kelangsungan bekalan diesel di pasaran negara, selain membolehkan rakyat yang layak terus menikmati diesel pada harga lebih rendah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Malah, pembaharuan ini dijangka menjimatkan perbelanjaan subsidi sehingga RM2 bilion setahun, yang memberi peluang kepada kerajaan untuk mengagihkan sebahagian daripada penjimatan bagi menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter,” menurut kementerian itu. 

MOF juga turut menjawab pertanyaan Senator Datuk Nelson W. Angang berhubung langkah kerajaan dalam memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar tidak menekan sektor logistik dan rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, kerajaan pada 22 Jun mengumumkan penyeragaman harga dan kaedah subsidi diesel di seluruh negara yang berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2026, dengan rakyat Malaysia yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.

Selain itu, mekanisme subsidi diesel sedia ada bagi sektor strategik akan terus dikekalkan termasuk harga diesel RM1.65 untuk nelayan, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam.

SKDS turut diperluaskan kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak di Sabah dan Sarawak yang membolehkan kenderaan komersial membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 seliter.

--BERNAMA