AirBorneo Sasar Permintaan Kukuh Bagi Laluan Antarabangsa Pertama Kuching-Singapura
Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 23 Julai (Bernama) -- Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, AirBorneo Airways (AirBorneo) menjangkakan permintaan yang kukuh bagi laluan antarabangsa pertamanya yang baharu dilancarkan, iaitu antara Kuching dan Singapura berikutan penerbangan sulungnya pada 22 Julai.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira berkata syarikat penerbangan itu optimis dengan operasi jet baharunya, dan menekankan bahawa ia menerima sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Singapura bagi laluan Kuching-Singapura, terutamanya menjelang musim perayaan akan datang.
Beliau menyatakan bahawa maklum balas positif itu diterima susulan harga mampu milik yang ditawarkan syarikat penerbangan tersebut, iaitu bermula dari RM399 sehala termasuk semua caj bagi kelas ekonomi dan RM871 bagi kelas perniagaan.
“Walaupun kami baharu sahaja membuka jualan (tiket) pada 13 Julai lepas, tetapi kami telah menyaksikan sambutan yang amat baik bagi tempoh perayaan Tahun Baharu Cina tahun depan.
“Kami menerima permintaan yang sangat baik, dan penerbangan pertama semalam juga sangat baik dengan operasi berjalan dengan lancar,” katanya kepada Bernama selepas taklimat media pada Khamis.
Penerbangan sulung AirBorneo MY363 itu berlepas dari Kuching pada pukul 6.50 petang, Khamis dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada 8.04 malam, manakala penerbangan balik, MY364, berlepas dari Singapura pada pukul 9.27 malam dan tiba di Kuching pada 10.36 malam.
Pelancarannya adalah bersempena dengan sambutan Hari Sarawak dan ia merupakan laluan antarabangsa pertama AirBorneo, sekali gus mencerminkan pertumbuhan berterusan Sarawak dan visi bersama bagi meletakkan negeri itu sebagai pintu masuk dinamik ke rantau tersebut.
Tambah Megat Ardian laluan baharu tersebut menandakan permulaan bagi pengembangan antarabangsa AirBorneo, ketika ia terus mengembangkan rangkaian strategiknya ke seluruh rantau itu.
“Singapura sangat sesuai sebagai pilihan destinasi antarabangsa pertama kami, mencerminkan hubungan yang kukuh dan erat termasuk dari segi ekonomi antara Sarawak serta salah satu hab komersial dan penerbangan terkemuka di rantau ini.
“Kami berharap dapat menghubungkan Sarawak dengan lebih banyak destinasi, meningkatkan hubungan serantau dan menyokong pertumbuhan jangka panjang negeri,” tambahnya.
AirBorneo akan mengadakan penerbangan setiap hari antara Kuching dan Singapura.
Mengulas lanjut, Megat Ardian memberi jaminan bahawa syarikat penerbangan itu akan mengkaji kemungkinan untuk menambah kekerapan, yang dijangka akan bermula menjelang akhir tahun ini.
“Sebaik sahaja kami menerima beberapa lagi pesawat, kami akan meningkatkan penerbangan harian kepada dua kali sehari, dan mungkin pada suku pertama tahun depan, kita akan menyaksikan penerbangan harian bertambah kepada tiga,” katanya.
-- BERNAMA