BERITA TERKINI   JPJ laksana pengecualian sementara fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai - MOF | BUDI Diesel diperluas kepada kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip - MOF | PRN Johor: Pastikan budaya berkempen dilaksanakan secara sihat berasaskan fakta, bukannya fitnah - Fahmi | HBH: Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif, tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan - JPA | Hari Bekerja Hibrid inisiatif baharu pengaturan kerja lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa kurangkan waktu bekerja - JPA | 

Enest Group Sasar Hasil IPO RM15.11 Juta Untuk Bayaran Balik Hutang, Dana Operasi

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Enest Group Bhd (Enest) yang disenaraikan di Pasaran LEAP menyasarkan untuk mengumpul RM15.11 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) sebagai sebahagian daripada pemindahannya ke Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Kebanyakan hasil akan diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, menyokong modal kerja dan menampung perbelanjaan penyenaraian. 

Ketua Pegawai Kewangannya, Christopher Tan Yew Leong berkata pinjaman bank itu terutamanya digunakan untuk membiayai pengambilalihan dua hartanah kilang di Sepang dan Kajang, Selangor yang diklasifikasikan sebagai hartanah pelaburan. 

Ad Banner

Beliau berkata kumpulan itu juga sedang memperkukuh unjuran pertumbuhannya dengan membangunkan kemudahan baharu di Kajang bagi pengeluaran dalaman produk sarang burung dalam botol dan minuman kesihatan lain, dengan kapasiti tahunan kira-kira 300,000 botol. 

“Kami telah memperoleh dua kilang sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan kami. 

“Satu kemudahan di Sepang akan menyokong perniagaan perdagangan sarang burung mentah (RUBM) kami.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa sama, kilang baharu bernilai RM12 juta di Kajang akan memproses sarang burung yang boleh dimakan dan mengeluarkan produk sarang burung dalam botol,” kata Tan pada pelancaran prospektus yang diadakan bersempena dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE di sini hari ini. 

Beliau berkata pembinaan kemudahan di Kajang itu dijangka siap pada 2027, dengan bakal beroperasi sepenuhnya pada akhir 2028 atau suku kedua 2029, susulan memerlukan kelulusan daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC) untuk eksport ke China. 

Tan berkata Enest juga sedang memperluaskan asas pelanggannya di China, termasuk pengedar dan pembeli dalam segmen kesihatan dan kesejahteraan, sambil mengembangkan eksport RUBN ke pasaran China. 

Berdasarkan harga IPO sebanyak 13 sen sesaham, jangkaan hasil sebanyak RM15.11 juta akan digunakan seperti berikut iaitu RM5 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja (RM6.41 juta) dan pembayaran perbelanjaan penyenaraian (RM3.70 juta). 

IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 116.25 juta saham biasa baharu, yang mewakili 20.0 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan kumpulan iaitu 581.25 juta saham, serta tawaran jualan 15.05 saham sedia ada, mewakili kira-kira 2.6 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Enest Lok Chyi Yeu berkata kumpulan itu sentiasa memohon untuk meningkatkan kuota eksportnya ke China bagi menyokong pertumbuhan, dan menyatakan kuota semasanya adalah kira-kira 18 tan, dengan peningkatan tambahan sekitar dua tan dijangka tahun ini, sekali gus menjadikan kenaikan jumlah kapasiti eksport kepada kira-kira 20 tan. 

Beliau berkata eksport sarang burung ke China adalah tertakluk kepada kelulusan kuota dan audit kawal selia oleh pihak berkuasa China, dan kumpulan itu sedang giat bekerjasama dengan pengawal selia bagi mendapatkan peruntukan lebih tinggi dari semasa ke semasa.

Lok menyatakan bahawa kumpulan itu sedang mengembangkan operasinya bukan sahaja di China tetapi pasaran domestik menerusi perdagangan RUBN dan pelbagai aktiviti hiliran. 

Beliau menjelaskan bahawa operasinya di China tertumpu terutamanya pada import dan pengedaran menerusi rakan kongsi dan pemborong tempatan, berbanding menguruskan kedai runcit fizikal.

Katanya, operasi kumpulan tidak terjejas secara langsung oleh ketegangan geopolitik kerana ia bergantung kepada pengangkutan udara dan mempunyai perjanjian jangka panjang dengan rakan kongsi logistik, sekali gus membolehkannya menguruskan serta menstabilkan kos logistik. 

IPO itu dibuka untuk langganan hari ini dan ditutup pada 2 Julai 2026, dengan syarikat dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada 15 Julai 2026. 

M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu. 

-- BERNAMA