Malaysia Sasar Pertumbuhan Aeroangkasa Sehingga 20 Peratus Didorong Permintaan Global - Sim
SERDANG, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia menyasarkan pertumbuhan industri aeroangkasa antara 15 hingga 20 peratus tahun ini, didorong permintaan global yang terus meningkat terhadap pesawat serta pengembangan rantaian bekalan industri berkenaan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata Malaysia kini menjadi hab kepada kira-kira 250 syarikat aeroangkasa, yang menjana hasil RM32.5 bilion pada tahun lalu.
“Kami menyasarkan peningkatan sekitar 15 hingga 20 peratus, sejajar dengan trend pengembangan industri aeroangkasa global.
“Permintaan terhadap pesawat ketika ini amat tinggi, manakala pengeluar utama seperti Airbus dan Boeing masih berdepan kelewatan penghantaran. Keadaan ini membuka ruang kapasiti yang besar untuk dimanfaatkan, dan menjadi antara faktor utama yang mendorong pertumbuhan secara eksponen,” katanya kepada media selepas melancarkan Malaysia Aerospace Summit 2026 di sini hari ini.
Sim berkata sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kekal sebagai penyumbang utama kepada industri aeroangkasa negara, selain segmen pembuatan komponen kritikal.
Menurutnya, Malaysia kini memiliki ekosistem MRO yang kukuh hasil kehadiran syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines, selain peluasan operasi pemain serantau berpangkalan di Singapura.
Beliau turut berkata syarikat global seperti Collins Aerospace turut memainkan peranan penting dengan menghasilkan komponen kritikal di Malaysia bagi menyokong aktiviti penyelenggaraan industri berkenaan.
Mengulas perkembangan pelan jangka panjang, Sim berkata Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030) kekal berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran hasil industri sebanyak RM55 bilion menjelang 2030, meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Beliau berkata sasaran itu turut mewakili kira-kira 25 peratus daripada pasaran MRO Asia Pasifik yang diunjurkan melebihi US$60 bilion menjelang 2030.
Tahun lalu, industri aeroangkasa Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan menjana hasil RM32.5 bilion, disokong lebih 34,700 tenaga kerja mahir serta lebih 250 syarikat dalam ekosistem industri tersebut.
Segmen MRO kekal sebagai pemacu utama industri dengan menyediakan lebih 12,000 pekerjaan berkemahiran tinggi, selain terus menarik minat pelabur global termasuk Airbus, Boeing, Collins Aerospace, Safran dan Turkish Aerospace Industries.
Sementara itu, edisi kelapan MyAERO Summit 2026 bertemakan “The Regional Gateway to Aerospace Technology, Business and Talent Networks” turut dihadiri Tengku Panglima Besar Selangor Yang Amat Mulia Tengku Abdul Samad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj; Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hanafi Sakri; Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia Dr Shamsul Kamar Abu Samah; serta Ahli Lembaga Pengarah NAICO Malaysia Dr Mohd Hafizi Shamsudin.
-- BERNAMA