BNM, SC Adakan Mesyuarat Sulung Panel Penasihat MIFC Perkasa Agenda Kewangan Islam
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengadakan mesyuarat sulung Panel Penasihat (MAP) Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) semalam.
Dalam satu kenyataan bersama, MAP yang merupakan platform nasihat dan perundingan antara agensi, ditubuhkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pasaran global terkemuka dan pintu masuk antarabangsa bagi kewangan Islam.
Peranan utama MAP turut diperbincangkan. Ini termasuk menyediakan panduan strategik untuk memperhalusi dan menyokong keutamaan Rangkaian Perniagaan MIFC (MBN)—iaitu platform yang dipimpin oleh industri bertujuan memperkukuh agenda kewangan Islam antarabangsa dan usaha pembangunan perniagaan Malaysia, menurut kenyataan itu.
"MAP akan memastikan inisiatif yang diterajui industri mempunyai sumber yang mencukupi dan selaras dengan strategi ekonomi nasional yang lebih luas. Ia juga membincangkan cabaran industri dan menyediakan cadangan yang boleh diambil tindakan untuk memangkin pertumbuhan yang lebih kukuh.
"MAP juga akan memanfaatkan pandangan kolektif untuk meningkatkan penyertaan antarabangsa dan memupuk kerjasama rentas sempadan yang lebih besar dalam kewangan Islam," tambahnya.
Ia juga memaklumkan penubuhan MAP akan membawa kepada peralihan ke arah pengawasan yang lebih besar yang diterajui oleh industri, disokong oleh kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.
-- BERNAMA