BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Pasaran Modal Boleh Tutup Jurang Pembiayaan PKS Untuk R&D, Pengembangan – Bursa Malaysia

GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa memanfaatkan pasaran modal sebagai sumber pembiayaan alternatif bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengembangan perniagaan yang tidak dapat ditampung sepenuhnya melalui pembiayaan bank konvensional, menurut Bursa Malaysia Bhd.

Ketua Pembangunan Pasaran Baru Muncul Bursa Malaysia Muhd Farrish Ishak berkata pembiayaan bank kekal penting pada peringkat awal perniagaan, namun pasaran modal memainkan peranan pelengkap apabila syarikat mencapai tahap pertumbuhan yang lebih matang.

Beliau mengambil contoh syarikat reka bentuk semikonduktor, SkyeChip, yang berjaya mengumpul lebih RM350 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO), dengan kira-kira RM210 juta diperuntukkan khusus untuk R&D.

Ad Banner

“Bank mana yang akan membiayai RM210 juta untuk R&D? Ia amat sukar. Di sinilah pasaran modal berperanan untuk merapatkan jurang pembiayaan.

“Syarikat perlu memahami masa yang sesuai untuk memasuki pasaran dan mengumpul dana bagi melonjakkan perniagaan ke tahap seterusnya,” katanya pada sesi panel di Forum Ekonomi Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat seperti SkyeChip membuktikan pelabur kini lebih terbuka kepada perniagaan berasaskan teknologi yang mempunyai kekuatan harta intelek serta potensi pendapatan berulang, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pembuatan produk akhir.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, Muhd Farrish menegaskan PKS yang ingin mendapatkan akses kepada pembiayaan perlu memperkukuh aspek tadbir urus, kawalan dalaman, dokumentasi serta sistem perakaunan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan untuk mengumpul dana.

Beliau berkata masih banyak PKS terlalu bergantung kepada pengasas, sekali gus mewujudkan risiko kelangsungan perniagaan apabila proses membuat keputusan dan operasi tertumpu kepada seorang individu.

“Tadbir urus merupakan antara isu utama yang kami tekankan apabila berurusan dengan pemilik perniagaan. Syarikat perlu membina struktur yang kukuh supaya perniagaan tidak bergantung sepenuhnya kepada pengasas.

“Kelemahan ini boleh diperbaiki. Ia tidak bermakna syarikat tidak boleh mengumpul dana, tetapi mereka perlu mengenal pasti serta menambah baik aspek ini seiring pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Forum itu dianjurkan bersama oleh Kumpulan Perbankan RHB, Penang Institute dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan fokus memperkukuh hala tuju pertumbuhan baharu Pulau Pinang.

Lebih 300 peserta menyertai perbincangan mengenai peluang ekonomi baharu, penyelesaian pembiayaan mampan, pembangunan bakat serta strategi penskalaan perniagaan, termasuk laluan akses kepada pasaran modal.

-- BERNAMA