Sektor O&G Malaysia Dalam Fasa Pemulihan Dua Peringkat, Harga Minyak Sokong Pendapatan Jangka Pendek - AmInvestment
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia dalam fasa pemulihan dua peringkat, dengan harga minyak yang tinggi menyokong prestasi pendapatan jangka pendek manakala perbelanjaan modal Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang meningkat semula dijangka memacu pemulihan aliran kontrak secara berperingkat mulai 2027 dan seterusnya, menurut AmInvestment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu memaklumkan pihaknya menjangka perbelanjaan modal Petronas akan meningkat semula kepada RM45 bilion-RM50 bilion pada tahun kewangan penuh 2026 hingga tahun kewangan 2028 daripada RM42 bilion pada 2025, disokong oleh harga minyak Brent yang tinggi dan tumpuan baharu terhadap keselamatan tenaga.
“Kami percaya normalisasi fizikal masih belum lengkap walaupun terdapat perjanjian damai Amerika Syarikat-Iran yang terkini, dengan penurunan bekalan dan gangguan pada aliran adalah lebih ketara berbanding penyusutan permintaan.
“Ini menyebabkan pasaran fizikal terhad pada suku kedua hingga suku ketiga 2026 dan menyokong unjuran harga minyak mentah Brent untuk tahun kewangan penuh 2026 sebanyak US$95 setong,” menurutnya dalam laporan sektor hari ini.
Menurut AmInvestment, Petronas akan mempunyai aliran tunai operasi yang lebih kukuh untuk membiayai pelaburan semula dengan harga minyak mentah Brent sebanyak US$80-90 setong.
“Walaupun harga minyak mentah Brent menurun, kami berpandangan keperluan strategik untuk pelaburan semula kekal utuh berikutan konflik tersebut menekankan kepentingan mengekalkan rizab, memastikan bekalan gas domestik yang mencukupi dan menjamin kebolehpercayaan bekalan gas asli cecair.
“Harga minyak mentah Brent yang kekal melebihi US$80 setong, lazimnya meningkatkan kecenderungan pelaburan Petronas dalam aktiviti huluan berikutan penilaian ekonomi sesuatu projek menjadi lebih menarik dan kelulusan bajet mendapat momentum,” menurutnya.
Berdasarkan situasi sebelum ini, perbelanjaan modal huluan Petronas biasanya memberi impak selepas kira-kira setahun, menyokong pandangan bahawa harga minyak mentah Brent yang tinggi pada tahun kewangan 2026 akan mendorong kepada peningkatan aktiviti pada tahun kewangan 2027 hingga tahun kewangan 2028.
AmInvestnment memaklumkan saranan sektor itu dinaikkan kepada ‘mengatasi pasaran’ berdasarkan apa yang digambarkannya sebagai ‘minyak beri pulangan segera, perbelanjaan modal jana hasil kemudian’.
Pilihan utamanya ialah Hibiscus Petroleum Bhd, MISC Bhd dan Dialog Group Bhd untuk leveraj pendapatan langsung daripada harga minyak mentah Brent yang tinggi manakala Dayang Enterprise Holdings Bhd, Keyfield International Bhd dan Deleum Bhd dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan tahap penggunaan dan aktiviti seiring dengan perbelanjaan modal yang kembali meningkat.
-- BERNAMA