BERITA TERKINI   Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | PRN Johor: Bekas Menteri Kesihatan Adham Baba calon BN di kerusi DUN Pasir Raja - Onn Hafiz | PRN Johor: Bekas Menteri Kesihatan Adham Baba calon BN bagi kerusi DUN Pasir Raja - Onn Hafiz | PRN Johor: Pengerusi BN Johor Onn Hafiz sahkan pertahan kerusi DUN Machap | 

Untung Bersih YTL Corp Susut Kepada RM325.99 Juta Bagi Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih YTL Corporation Bhd (YTL Corp) susut kepada RM325.99 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2026 daripada RM432.63 juta pada suku sama tahun kewangan 2025.

Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat itu menjelaskan perolehan pula meningkat kepada RM7.57 bilion daripada RM7.32 bilion bagi tempoh yang sama.

Segmen industri simen dan bahan binaan merekodkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi tahun ke tahun, manakala segmen pelaburan dan pembangunan hartanah kembali mencatatkan keuntungan selepas mengalami kerugian pada tahun kewangan lepas, tambahnya.

Ad Banner

YTL Corp memaklumkan bagaimanapun, segmen pembinaan terus mencatatkan kerugian manakala perkhidmatan pengurusan, operasi hotel dan operasi utiliti mencatatkan prestasi keuntungan yang lebih lemah.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2026, keuntungan bersih susut kepada RM1.11 bilion daripada RM1.35 bilion pada tempoh sama tahun kewangan 2025 manakala perolehan berkurangan kepada RM22.80 bilion daripada RM23.15 bilion.

Dalam kenyataan, Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping berkata perolehan meningkat sedikit pada suku ketiga tahun kewangan 2026 didorong terutama oleh segmen simen dan bahan binaan, operasi hotel serta utiliti.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai pula susut disebabkan terutama oleh sumbangan subsegmen penjanaan tenaga daripada bahagian utiliti yang rendah.

Mengenai prospek, YTL Corp menjelaskan pihaknya menjangkakan prestasi segmen perniagaan terus berdaya tahan disokong sifat semula jadi operasinya yang penting di samping akan terus memantau rapat risiko berkaitan serta kesan terhadap semua segmen perniagaan.

Sementara itu, keuntungan bersih YTL Power International Bhd mengalami penurunan kepada RM325.81 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 daripada RM489.41 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 namun, perolehan meningkat kepada RM5.08 bilion daripada RM4.89 bilion.

Yeoh berkata dalam segmen penjanaan tenaga, margin runcit dan letak hak yang lebih rendah serta pengukuhan ringgit berbanding dolar Singapura menjejaskan prestasi.

“Bagaimanapun, segmen air di United Kingdom (UK) dan Malaysia mencatatkan peningkatan prestasi yang ketara dipacu kenaikan harga kawal selia dan tarif,” katanya.

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2026, keuntungan bersih susut kepada RM1.26 bilion daripada RM1.73 bilion pada tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2025.

Perolehan pula berjumlah RM15.70 bilion berbanding RM16.25 bilion bagi tempoh sama.

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2026, segmen air di UK merekodkan lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 472 peratus, manakala di Malaysia keuntungan meningkat 126 peratus.

Segmen pusat data pula mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 422 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun kewangan 2025.

Lembaga pengarah YTL Power mengisytiharkan dividen interim empat sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026, dengan tarikh penutupan dan pembayaran masing-masing pada 25 Jun, 2026 dan 10 Julai, 2026. 

Sementara itu, keuntungan bersih Malayan Cement Bhd meningkat kepada RM246.70 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 daripada RM182.84 juta bagi suku sama tahun kewangan lepas, manakala perolehan mengukuh kepada RM1.22 bilion daripada RM1.10 bilion.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2026, keuntungan bersih meningkat kepada RM680.25 juta daripada RM506.97 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2025 manakala perolehan menokok kepada RM3.70 bilion daripda RM3.42 bilion.

Yeoh berkata peningkatan perolehan bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 disumbangkan oleh pulangan lebih tinggi yang dicatatkan bahagian konkrit siap campur dan campuran kering, yang didorong oleh peningkatan permintaan terhadap produk konkrit gred tinggi dan konkrit siap campur khusus.

Keuntungan bersih YTL Hospitality REIT juga meningkat kepada RM40.96 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 daripada RM30.08 juta pada suku sama tahun kewangan lepas, manakala perolehan naik sedikit kepada RM149.06 juta daripada RM141.10 juta.

Pendapatan hartanah bersih (NPI) menambah enam peratus kepada RM84.9 bagi suku yang sama daripada RM79.7 juta pada suku sama tahun kewangan lepas, manakala pendapatan tersedia untuk agihan naik sembilan peratus kepada RM28.6 juta daripada RM26.2 juta bagi suku sama tahun kewangan 2025.

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2026, keuntungan bersih meningkat kepada  RM121.19 juta daripada RM92.32 juta, dan perolehan meningkat kepada RM444.0 juta daripada RM421.3 juta.

“Prestasi segmen hotel mengukuh pada tempoh suku itu didorong oleh permintaan bilik yang lebih tinggi, dipacu oleh kalendar acara hiburan dan sukan utama, pertumbuhan yang direkodkan dan perniagaan berkaitan pelayaran. 

“Purata kadar bilik yang lebih baik dan pengurusan kos yang cekap menyumbang kepada perolehan dan NPI yang lebih tinggi berbanding suku sama pada tahun kewangan lepas,” katanya.

Yeoh berkata prestasi segmen sewaan hartanah meningkat pada suku yang sama apabila perjanjian pajakan Hotel AC Ipoh bermula pada April 2025.

-- BERNAMA