Kerajaan Tidak Bercadang Perluas Program Subsidi Bahan Api - Liew
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang memperluas program subsidi bahan api selepas pelarasan harga diesel bersubsidi baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan kini menggabungkan subsidi RON95 dan diesel di bawah rangka kerja BUDI MADANI.
“Dahulu, sebelum kita mempunyai mekanisme BUDI, sejak 2024, pengguna diesel yang layak diberi subsidi RM200 seliter dan bantuan tunai RM200.
“Kini, kami tidak lagi memberi subsidi tunai (sebaliknya) semuanya diletakkan di bawah rangka kerja BUDI,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Fokus Percukaian Pertengahan Tahun Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) 2026 di sini hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan bahawa harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter bermula 1 Julai 2026 sebagai sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi di seluruh negara.
Harga diesel bersubsidi baharu ini adalah lebih rendah daripada harga subsidi semasa, iaitu RM2.15 seliter, yang kini dinikmati di Sabah, Sarawak dan Labuan, selain di bawah skim subsidi diesel bersasar.
Kadar baharu ini akan dilaksanakan di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad.
Terdahulu, pada sesi bual santai, Liew berkata Belanjawan 2027, yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada Oktober, akan berteraskan beberapa agenda daya tahan.
Beliau berkata langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan rantaian bekalan, memelihara kestabilan ekonomi dan memastikan negara lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa depan.
Katanya kerajaan juga perlu memperkukuh keupayaan kitar semula domestik dan ekosistem tempatan untuk industri plastik dan bekalan perubatan lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang kejutan pada masa depan.
“Melangkah ke hadapan, kita perlu ‘membentuk semula bandar kita’ supaya lebih ramai rakyat, terutamanya golongan pertengahan, dapat tinggal di pusat bandar berbanding berulang-alik dari kawasan pinggir bandar yang jauh,” katanya.
Langkah ‘membentuk semula bandar’ itu boleh ditakrifkan sebagai menukar perspektif daripada pendekatan tradisional kepada konsep bandar yang saling berkaitan, ruang yang dibentuk oleh pengalaman manusia, budaya dan interaksi sosial.
“Daya tahan adalah langkah seterusnya. Kita perlu memperkukuh daya tahan bagi memastikan kita dapat melindungi negara daripada ketidaktentuan dan cabaran pada masa depan,” katanya.
Sesi bual santai itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif TRATAX Thenesh Kannaa.
-- BERNAMA