BERITA TERKINI   153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | 

BPMB, MATRADE Jalin Kerjasama Dalam Inisiatif BizConnect RM700 Juta Bagi Memacu Eksport

 

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memacu ekosistem eksport dan agenda transformasi ekonomi Malaysia melalui inisiatif strategik bernilai lebih RM700 juta di bawah Program BizConnect with Exporters.

Dalam satu kenyataan, BPMB menyatakan BizConnect berfungsi sebagai platform pemerkasaan perniagaan, meningkatkan daya saing global dan sokongan untuk syarikat Malaysia dalam meneroka pasaran serantau dan antarabangsa.

Ad Banner

Menurut bank itu, inisiatif ini memperkukuh peranan kumpulan BPMB dalam menjana impak pembangunan yang mampan selaras dengan kerangka pengukuran prestasi Bank Negara Malaysia (BNM) melalui pengukuhan daya tahan perniagaan, peningkatan penyertaan eksport dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

“Dalam merealisasikan pelaksanaan inisiatif strategik berjumlah RM9 bilion di bawah Belanjawan 2026, pelbagai inisiatif bernilai lebih RM700 juta telah disediakan untuk memperkukuh pengembangan eksport, pengantarabangsaan perniagaan dan peningkatan daya saing syarikat Malaysia di persada global.

“Susulan kejayaan sesi rintis di Kuala Lumpur yang melibatkan 30 syarikat, BizConnect dijangka melibatkan hampir 100 syarikat di beberapa hab ekonomi utama termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” tambah kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

BPMB menyatakan perniagaan yang mengambil bahagian akan mendapat manfaat daripada sokongan menyeluruh yang merangkumi akses kepada penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan, khidmat nasihat eksport dan perkongsian risikan pasaran, jaringan strategik bersama rakan ekosistem, serta program pembangunan kapasiti bagi meningkatkan kesiapsiagaan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Institusi kewangan pembangunan tersebut menyatakan program ini membolehkan perniagaan mengakses rangkaian penyelesaian yang komprehensif, termasuk 'Program Jaguh Serantau', program Business Exports, Skim Export Leap dan Malaysia Global Connect Go Export Cover.

“BizConnect turut menjadi platform strategik yang menghubungkan pengeksport, rakan industri dan MATRADE bagi membuka peluang pembiayaan baharu, memperkukuh kesiapsiagaan eksport, membina kerjasama rentas sempadan dan mengenal pasti laluan pertumbuhan global yang mampan.

"Dengan merapatkan jurang akses syarikat kepada sumber modal, kepakaran dan jaringan strategik, BizConnect meningkatkan keupayaan syarikat Malaysia untuk bersaing dengan lebih efektif di pasaran antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan daya tahan ekonomi negara secara menyeluruh," tambahnya.

-- BERNAMA