Penggunaan Terminal Pengerang Kekal Melebihi 90 Peratus – DIALOG

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 27 Nov (Bernama) -- Kadar penggunaan kemudahan penyimpanan di Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT) terus mencatat lebih 90 peratus, mencerminkan permintaan kukuh terhadap perkhidmatan terminal itu di hab tenaga berkenaan, menurut DIALOG Group Bhd.

Dalam maklum balas bertulis kepada Bernama, kumpulan itu memaklumkan PDT merekodkan lebih 2,000 kunjungan kapal serta mengendalikan kira-kira 45 juta tan metrik kargo sepanjang tahun kewangan 2025 dan 2026.

Ad Banner

“Permintaan berterusan terhadap perkhidmatan PDT menyerlahkan kedudukannya sebagai pintu masuk utama bagi aktiviti penyimpanan, perdagangan dan pengedaran di rantau ini,” menurut penyedia perkhidmatan teknikal khusus bersepadu bagi industri minyak, gas dan petrokimia itu.

DIALOG memaklumkan lokasi strategik PDT di sepanjang laluan perkapalan antarabangsa, dengan akses terus ke Selat Melaka dan Laut China Selatan, membolehkannya memenuhi keperluan pedagang minyak, syarikat tenaga multinasional, penapisan serta pengeluar petrokimia.

Kapasiti penyimpanan keseluruhan PDT dijangka meningkat kira-kira 25 peratus, daripada sekitar empat juta kepada lima juta meter padu, sebaik sahaja pengembangan Fasa 3 dan kemudahan penyimpanan baharu bagi projek Pengerang Biorefinery siap pada 2028.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut kumpulan itu, pengembangan Fasa 3 yang dilaksanakan menerusi perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan bp Singapore berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang pertengahan 2028.

Pengembangan itu akan menambah kapasiti penyimpanan kira-kira 614,000 meter padu bagi produk petroleum bertapis dan bahan api bio, sekali gus meningkatkan jumlah kapasiti penyimpanan Fasa 3 kepada lebih satu juta meter padu.

Sementara itu, Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd sedang membangunkan kemudahan penyimpanan khusus berkapasiti 272,000 meter padu bagi menyokong operasi Pengerang Biorefinery Sdn Bhd, yang akan menghasilkan bahan api penerbangan mampan dan diesel boleh baharu.

Kemudahan penyimpanan itu dijadualkan siap pada separuh pertama 2028.

DIALOG memaklumkan jumlah pelaburan dalam PDT setakat ini telah melebihi RM14 bilion dan kumpulan itu sedang mengadakan perbincangan dengan bakal pelanggan serta pemain industri berhubung potensi pembangunan lanjut di terminal berkenaan.

– BERNAMA