Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Pembelian Pada Harga Rendah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat susulan belian berterusan semasa harga rendah, kenaikan harga minyak mentah dan minyak sayuran pesaing.
Menurut seorang penganalisis, faktor itu berjaya mengimbangi tekanan jualan disebabkan paras inventori yang tinggi dan eksport yang lemah.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata butiran lanjut mengenai program biodiesel B50 Indonesia untuk 2027 turut menyokong niaga hadapan MSM.
“Peserta pasaran akan memantau anggaran bekalan dan permintaan bagi November daripada agensi berita serta unjuran pengeluaran daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) pada minggu depan.
“Sementara itu, jurang antara harga penanda aras Fastmarkets CME bagi MSM dan minyak kacang soya di India melebar paling ketara pada minggu ini, paling tinggi sejak Mac 2026, dengan minyak sawit diniagakan pada diskaun US$160 hingga US$170 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Disember 2026 susut RM40 kepada RM4,068 satu tan, manakala Januari 2027 meningkat RM8 kepada RM4,207 satu tan dan Februari 2027 menokok RM16 kepada RM4,308 satu tan.
Kontrak Mac 2027 bertambah RM19 kepada RM4,396 satu tan, April 2027 meningkat RM16 kepada RM4,464 satu tan, manakala Mei 2027 menokok RM24 kepada RM4,511 satu tan.
Jumlah dagangan susut kepada 83,041 lot daripada 87,459 lot sebelum ini, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 332,792 kontrak daripada 332,290 kontrak semalam.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan meningkat RM30 kepada RM4,130 satu tan.
-- BERNAMA