Cimbn IB Kekal Saranan Beli Terhadap TNB, Tingkatkan harga Sasaran

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- CIMB Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan harga sasaran yang disemak naik, memandangkan pendapatan sesaham (EPS) teras dijangka meningkat secara suku ke suku pada suku keempat (S4) tahun 2026.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, CIMB memaklumkan bahawa EPS tersebut akan didorong oleh pertumbuhan asas aset terkawal (RAB) serta kadar cukai efektif (ETR) yang lebih rendah.

“Pemangkin utama bagi penilaian semula ini ialah pencapaian pertumbuhan keuntungan bersih teras yang kukuh dalam unjuran bagi tahun kewangan 2026-2028, dipacu oleh pertumbuhan RAB yang teguh.

Ad Banner

“Risiko penurunan utama termasuk perbelanjaan operasi (opex) lebih tinggi daripada jangkaan serta perbelanjaan modal (capex) luar jangka yang lebih perlahan daripada jangkaan,” menurut kenyataan itu.

CIMB turut menyatakan bahawa permintaan elektrik daripada pusat data terus meningkat.

Setakat akhir September 2026, TNB membekalkan elektrik kepada 55 pusat data, berbanding 42 pusat data pada akhir Jun 2026, dengan jumlah permintaan maksimum sebanyak 6.1 gigawatt (GW), melonjak daripada 5.7 GW sebelum ini.

Ad Banner
Ad Banner

“Jumlah kumulatif permintaan maksimum (TMD) di bawah perjanjian bekalan elektrik (ESA) yang dimeterai dengan 73 pusat data telah mencecah 9.7 GW setakat September 2026, naik daripada 4.5 GW pada akhir suku keempat tahun 2025.

"Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan memandangkan terdapat 44 projek lagi dalam perancangan (menjadikan jumlah keseluruhan 117 pusat data) yang akan menambah 13.8 GW lagi kepada Permintaan Maksimum Pusat Data (TMD) (menjadikan jumlah kumulatif TMD kepada 23.5 GW).

"Pengendali dari Amerika Syarikat merangkumi 29 peratus daripada pusat data yang telah menandatangani Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) dengan TNB (39 peratus dari segi kapasiti)," menurut nota penyelidikan itu.

TNB melaporkan bahawa capex terkawal bagi suku ketiga 2026 berjumlah RM3.5 bilion, terdiri daripada capex asas sebanyak RM2.8 bilion (peningkatan lapan peratus suku ke suku) dan capex kontingen sebanyak RM760 juta (peningkatan 41 peratus suku ke suku).

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026, capex kontingen berjumlah RM1.5 bilion, dengan TNB menjangkakan angka bagi keseluruhan tahun akan mencecah RM2.4 bilion (membayangkan perbelanjaan sebanyak RM900 juta pada suku keempat 2026).

TNB juga akan mengemukakan cadangan bagi Tempoh Kawal Selia 5 (2028–2030) kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) bulan depan.

"Selepas itu, perbincangan akan diadakan, dengan cadangan yang disemak semula dijangka dikemukakan kepada ST pada September 2027, dan keputusan muktamad akan dibuat pada Disember 2027," menurut kenyataan itu.

CIMB Investment telah menyemak semula harga sasaran TNB kepada RM15.20, berbanding RM12.50 sebelum ini.

-- BERNAMA