BERITA TERKINI   Sabah Electricity tetapkan tempoh maksimum enam hari pulihkan talian penghantaran elektrik ke Pantai Timur Sabah - Pengerusi | Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail meninggal dunia malam ini - Peguam Negara Mohd Dusuki | Bekalan elektrik putus: Semua 42,808 calon sedang duduki SPM di Sabah tidak terjejas - Pengarah Pendidikan Negeri | MCMC selaraskan usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi Pantai Timur Sabah bersama Sabah Electricity dan penyedia perkhidmatan | MCMC sediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal pastikan komunikasi pasukan di lapangan | 

Permintaan Elektrik Semenanjung Malaysia dijangka Cecah 49.8 GW Menjelang 2050

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia diunjurkan meningkat lebih dua kali ganda daripada 22.6 gigawatt (GW) pada 2027 kepada 49.8 GW menjelang 2050, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 3.5 peratus.

Memetik Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET), Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) berkata unjuran itu mengambil kira pertumbuhan pesat sektor pusat data, kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) serta industri berintensifkan tenaga.

Menurutnya, permintaan elektrik sektor pusat data kepada keseluruhan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia dijangkakan meningkat daripada 11 peratus pada 2027 kepada 21 peratus pada  2050.

Ad Banner

Kementerian itu memaklumkan tenaga nuklear dikenal pasti sebagai satu daripada pilihan strategik untuk menggantikan arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik beban asas, selain gas, selaras dengan usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Keperluan kapasiti sebenar dan perincian sumbangan tenaga nuklear dalam campuran penjanaan di Semenanjung adalah tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan menyeluruh yang sedang diterajui oleh MyPOWER selaku Nuclear Energy Program Implementing Organization (NEPIO).

“Namun begitu, senario awal yang diputuskan dalam Mesyuarat JPPPET Bil. 1/2026 mengunjurkan potensi kemasukan tenaga nuklear secara berperingkat menjelang tahun 2040, dengan peratus campuran penjanaan sebanyak dua peratus iaitu kira-kira 2.0GW bagi tempoh sehingga tahun 2050,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai unjuran permintaan elektrik negara sehingga 2050 serta peranan tenaga nuklear dalam memenuhi permintaan dan campuran penjanaan elektrik negara.

Dalam jawapan lisan berasingan, PETRA memaklumkan Terengganu merekodkan 11 projek dengan kapasiti 874 megawatt (MW), diikuti Kelantan dengan sembilan projek (533 MW) dan Perlis dengan lima projek (124 MW)  bagi pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS) 1 hingga LSS 5+.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga negeri mencatatkan 25 projek dengan jumlah kapasiti 1,531 MW, bersamaan dengan 25.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti LSS iaitu 6,028 MW.

Bagi Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), kementerian itu berkata prinsip asas pelaksanaannya adalah berdasarkan “willing buyer willing seller”, malah penggunaan sistem grid peserta tertakluk kepada caj akses sistem yang sesuai.

“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan kos penggunaan dan keperluan tambahan sistem dipindahkan secara tidak wajar kepada pengguna elektrik lain.

“Dalam hal ini, syarikat pemaju tenaga boleh baharu (TBB) boleh membina ladang solar di mana-mana negeri yang dirasakan sesuai dan kerajaan tidak menetapkan sebarang peraturan untuk syarikat tersebut membina ladang solar di negeri atau di kawasan tertentu,” katanya.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat-PN) mengenai langkah kerajaan bagi memastikan manfaat pelaburan tenaga boleh baharu melalui LSS6 dan CRESS turut dinikmati negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Perlis.

-- BERNAMA