KK Mart Yang Bakal Disenaraikan Di Pasaran Utama Sasar Kumpul RM115.5 Juta Melalui IPO

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- KK Mart Retail Bhd menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM115.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 15 Dis, 2026.

Pengendali KK Super Mart itu menyatakan IPO berkenaan merangkumi terbitan awam sebanyak 210 juta saham baharu pada harga IPO 55 sen sesaham serta tawaran jualan sebanyak 630 juta saham sedia ada.

Menurut prospektusnya, sebanyak RM25 juta atau 21.7 peratus daripada hasil IPO itu diperuntukkan bagi pengembangan rangkaian kedai baharu di seluruh negara manakala RM48.4 juta (41.9 peratus) akan digunakan untuk memperluas pusat pengedarannya.

Ad Banner

Sebanyak RM28 juta lagi (24.2 peratus) akan diperuntukkan bagi pelaburan dalam inisiatif digital serta perkakasan dan perisian teknologi maklumat (IT) manakala baki RM14.1 juta (12.2 peratus) akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, Pengarah Urusannya Datuk Seri Chai Kee Kan berkata syarikat itu berhasrat untuk mengembangkan kehadirannya ke Terengganu, Perlis, Kelantan dan Sabah yang masih belum mempunyai operasi KK Mart.

Chai memberitahu kumpulan itu juga akan memperkukuh rangkaian pengedarannya dengan membangunkan dua lagi pusat pengedaran bagi menyokong pengembangan rangkaian kedainya.

Ad Banner
Ad Banner

“Perancangan itu merangkumi penubuhan sebuah pusat pengedaran di selatan iaitu di Senai, Johor yang disasarkan mula beroperasi pada separuh pertama 2027 diikuti pusat pengedaran di Pulau Pinang yang dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2029,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus syarikat itu di sini hari ini.

Menurut Chai, kebanyakan kedai kumpulan itu beroperasi berdasarkan perjanjian penyewaan sehingga 15 tahun dan 99 peratus daripada premis kedainya adalah disewa.

Beliau menjelaskan: “Kebiasaannya, tempoh pajakan atau penyewaan kami adalah selama lima penggal, masing-masing tiga tahun menjadikan jumlah keseluruhan 15 tahun. Kenaikan kadar sewa juga dihadkan kepada peratusan tertentu apabila perjanjian penyewaan diperbaharui.”

Pengaturan ini membantu melindungi kumpulan itu daripada kenaikan kadar sewa yang ketara di kawasan sekitar.

Semasa penyenaraian, modal saham terbitan syarikat selepas diperbesarkan akan terdiri daripada 3.5 bilion saham dengan permodalan pasaran dijangka berjumlah RM1.9 bilion berdasarkan harga IPO 55 sen sesaham.

Permohonan bagi IPO itu dibuka hari ini dan akan ditutup pada 2 Dis, 2026, 5 petang.

Maybank Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penyelaras tunggal, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi urusan IPO itu.

 -- BERNAMA