BERITA TERKINI   Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak - Setiausaha Agung | Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd menyusut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas | Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | Untung bersih CIMB Group menurun kepada RM1.88 bilion pada suku ketiga 2026 daripada RM2.08 bilion tahun lepas | 

MAG Anggar Nilai Aset 16 Pesawat Boeing 787-10 Dreamliner Berjumlah US$9.3 Bilion

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) menganggarkan nilai aset 16 pesawat Boeing 787-10 Dreamliner termasuk enjinnya, berjumlah US$9.3 bilion (US$1 = RM4.11).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A. Bakar sebelum ini mengumumkan hasrat kumpulan itu untuk memperoleh 10 buah pesawat Boeing 787-10 Dreamliner, dengan pilihan bagi enam buah pesawat tambahan.

Pesawat pertama dijadualkan untuk diserahkan pada 2032.

Ad Banner

"Jadi, pesawat 787 Dreamliner ini bertujuan untuk menggantikan pesawat Airbus A350-900 yang kita miliki hari ini.

“Kita kini mempunyai tujuh pesawat dan menjelang ketibaan pesawat 787 pada 2032, pesawat Airbus A350-900 ini akan berusia kira-kira 13 hingga 15 tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen bagi pembelian pesawat berbadan lebar jarak jauh untuk Malaysia Airlines.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen itu.

Ad Banner
Ad Banner

Pesawat 787 Dreamliner akan menampilkan konfigurasi tiga kelas dengan 319 tempat duduk, menawarkan kapasiti yang lebih besar di samping meningkatkan pengalaman penumpang secara keseluruhan.

Sementara itu, Nasaruddin berkata pesawat baharu berkenaan dijangka memberikan kecekapan bahan api 25 peratus lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya, yang akan membantu syarikat penerbangan itu mengurus dan mengekalkan kos operasinya.

"Pada masa ini, kita melihat (peningkatan kecekapan bahan api) kira-kira 12 hingga 14 peratus bagi pesawat baharu (yang sedia ada).

“Tetapi dari segi harga, kami percaya dengan pesawat baharu dan produk yang ditawarkan, kami sepatutnya dapat meningkatkan sedikit sebanyak hasil pulangan,” tambah beliau.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan kelewatan penghantaran pesawat, Nasaruddin berkata terdapat kira-kira 18,000 pesawat dalam tempahan di seluruh dunia, justeru penting bagi MAG mengesahkan pesanannya sekarang memandangkan penghantaran hanya dijadualkan bermula dalam tempoh lima tahun lagi.

“Salah satu perkara yang sedang kami uruskan dengan kesemua pengeluar peralatan tulen (OEM) dan pembekal ini adalah untuk memastikan tarikh penghantaran yang telah mereka janjikan dapat dipenuhi seperti yang dirancang,” jelasnya.

Beliau berkata 16 pesawat yang baharu diperoleh itu akan menyokong pelan pengembangan rangkaian MAG, dengan kumpulan berkenaan menyasarkan pertumbuhan kapasiti tahunan sekitar lima peratus. Beliau menambah kapasiti telah meningkat kepada 18 peratus daripada 12 peratus dalam tempoh dua tahun lepas.

Nasaruddin berkata pesawat baharu itu akan digunakan untuk laluan sedia ada MAG ke London dan Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Perancis, manakala kumpulan berkenaan juga sedang menilai rangkaiannya untuk kemungkinan merangkumi destinasi seperti Sydney, Melbourne, Tokyo dan Seoul, dengan pengumuman lanjut akan dibuat pada masa yang sesuai.

“Sebarang pengumuman baharu mengenai destinasi kami akan mencerminkan pertumbuhan yang berdisiplin, memandangkan harga bahan api pada masa ini sangat tinggi.

“Jadi kami berkembang pada kadar yang berdisiplin. Malah pada tahun ini, kami telah melakukan pemotongan bersasar sekitar enam peratus ke atas kapasiti disebabkan kos operasi bahan api yang lebih tinggi,” tambahnya.

Nasaruddin berkata MAG kini mengendalikan kira-kira 101 buah pesawat, dengan armada baharu itu dijangka berkembang kepada 129 pesawat menjelang 2035, termasuk pesawat yang dikendalikan oleh bahagian kargo dan Firefly.

Malaysia Airlines kini mengendalikan lebih daripada 37 buah pesawat 737 Next-Generation, selain 19 buah pesawat Boeing 737-8.

Syarikat penerbangan itu mempunyai jumlah tempahan sebanyak 55 buah pesawat Boeing 737, yang merangkumi 43 buah 737-8 dan 12 buah 737-10, melalui gabungan tempahan terus daripada Boeing dan perjanjian pajakan. Baki pesawat itu dijangka diserahkan menjelang 2030.

-- BERNAMA