Konsortium Diketuai Macquarie Ambil Alih Menara Edotco Asia Pasifik Bernilai US$1.2 Bilion

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 23 Nov (Bernama) -- Sebuah konsortium yang diketuai oleh Macquarie Asset Management (MAM) pada Isnin memeterai perjanjian mengikat bagi mengambil alih perniagaan menara telekomunikasi antarabangsa Edotco Group Sdn Bhd di lima pasaran Asia Pasifik bernilai US$1.2 bilion (US$1=RM4.12).

Dalam satu kenyataan, MAM menyatakan bahawa Macquarie Asia-Pacific Infrastructure Fund 4 (MAIF4) akan mengambil alih Edotco Towers, Inc. (Edotco Philippines) di Filipina daripada Edotco Group, Edotco Investments (Labuan) Ltd dan Axiata Group Bhd.

Ad Banner

Edotco Philippines adalah anak syarikat Edotco Group, iaitu syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu serantau yang pertama di Asia yang beroperasi di tujuh pasaran Asia. 

“Edotco Philippines memiliki dan mengendalikan kira-kira 3,200 menara telekomunikasi yang menyediakan infrastruktur penting bagi pengendali rangkaian mudah alih di negara itu. 

“Dengan nisbah penyewaan kira-kira 1.2x setakat 30 Jun 2026, platform itu mempunyai kapasiti untuk menampung penyewa tambahan dan menyokong pengembangan rangkaian selanjutnya memandangkan penerimaan digital dan penggunaan data mudah alih terus meningkat di seluruh Filipina,” menurut MAM. 

Ad Banner
Ad Banner

MAM menjelaskan bahawa transaksi itu tertakluk kepada syarat-syarat biasa termasuk kelulusan pihak kawal selia dan pemegang saham, serta dijangka selesai pada 2027.

Selain itu, ia menyatakan bahawa perniagaan di empat lagi pasaran akan diambil alih oleh ahli konsortium yang lain. 

Ketua Bersama Infrastruktur Asia Pasifik MAM Verena Lim berkata Edotco Philippines merupakan satu platform mantap yang berperanan penting bagi menyokong keperluan kesalinghubungan negara itu yang semakin berkembang. 

“Pelaburan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap pertumbuhan berterusan infrastruktur digital di seluruh Asia Tenggara dan keupayaan kami untuk memanfaatkan kehadiran di rantau ini, hubungan tempatan dan kepakaran infrastruktur yang dimiliki bagi melaksanakan peluang yang kompleks merentasi pelbagai pasaran,” menurut syarikat itu.

-- BERNAMA