BERITA TERKINI   Institusi madrasah, maahad dan tahfiz perlu diperkasa bagi mempertahankan akidah, akhlak dan jati diri umat Islam – PM Anwar | KLCC Property Holdings Bhd catat keuntungan bersih RM203.87 juta pada Suku Ketiga Tahun Kewangan 2026 | 

MRO Aeroangkasa Jana Hasil RM13 Bilion Pada 2025, Kerajaan Tambah Baik Insentif - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) industri aeroangkasa negara menjana RM13 bilion pada 2025, bersamaan 40 peratus daripada keseluruhan hasil industri dan disokong oleh 12,000 tenaga kerja mahir.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara sedang meneliti potensi dan hala tuju strategik Malaysia untuk menjadi pusat MRO aeroangkasa serantau.

“Jentera kerajaan mesti bertindak pantas bagi memudahkan urusan pelabur dan memastikan pelaburan yang dirancang dapat segera direalisasikan,” kata beliau menerusi hantaran di laman media sosial selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut hari ini.

Ad Banner

Anwar berkata kerajaan juga akan menambah baik insentif dan memperkemas proses bagi memudahkan urusan perniagaan dalam sektor MRO.

Selain itu, kata beliau, mesyuarat tersebut turut meneliti kemajuan pelaksanaan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) serta membincangkan langkah untuk mempercepat dan memperkemas pelaksanaan projek berkenaan.

Sementara itu menerusi satu hantaran berasingan di laman X, Anwar berkata hari ini beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang membincangkan mengenai kemajuan agenda pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35).

Ad Banner
Ad Banner

Mesyuarat itu membincangkan tentang kedudukan produk usahawan tempatan, khususnya usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan, serta langkah untuk memperkukuh daya saing produk mereka.

Turut dibincangkan ialah usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kurikulum persekolahan pada 2027.

“Saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi mesti melihat pencapaian yang telah diraih, mengenal pasti kekangan pelaksanaan dan menentukan perkara yang perlu diperbaiki.

“Program yang bertindih perlu diselaraskan supaya sumber dapat ditumpukan kepada usaha yang membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat bumiputera,” kata beliau.

Selain itu, kata beliau, tumpuan khusus turut diberikan kepada agenda Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri menegaskan pengaktifan semula Majlis Ekonomi Bumiputera bagi kedua-dua negeri itu penting untuk memperkukuh penyelarasan dan memastikan pelaksanaan PuTERA35 memberi manfaat kepada masyarakat Bumiputera, termasuk di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA