Keuntungan Bersih Suku Ketiga TH Plantations Meningkat Kepada RM35.82 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih TH Plantations Bhd (THP) meningkat kepada RM35.82 juta pada suku ketiga berakhir 30 September, 2026 ,daripada RM24.26 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil turut meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM279 juta daripada RM266.36 juta sebelumnya.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, cabang perladangan Lembaga Tabung Haji itu memaklumkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat sebanyak 47.6 peratus kepada RM35.8 juta daripada RM24.3 juta, mencerminkan prestasi hasil yang lebih baik, yang sebahagiannya diimbangi oleh peruntukan tinggi keuntungan terhadap kepentingan bukan kawalan.

Ad Banner

Selain itu, THP menyatakan peningkatan hasil tersebut didorong terutamanya oleh harga jualan purata terealisasi yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit, yang masing-masing meningkat sebanyak 6.7 peratus dan 4.9 peratus mengimbangi penurunan kecil dalam jumlah jualan MSM, isirung sawit dan tandan buah segar (TBS).

Prestasi kewangan kumpulan bagi suku tahun tersebut mencerminkan susut nilai dan pelunasan yang ditambah semula ke dalam perbelanjaan susulan penamatan aset yang dipegang bagi klasifikasi jualan yang melibatkan lima anak syarikat TH Pelita.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026, keuntungan bersih THP meningkat sedikit kepada RM42.56 juta, berbanding RM40.80 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, THP dalam satu kenyataan memaklumkan kumpulan tersebut menjangkakan tinjauan industri minyak sawit kekal yang positif bagi tempoh berbaki 2026 hingga ke 2027, didorong oleh prospek harga minyak sawit mentah (CPO) yang semakin baik.

Bagaimanapun, paras inventori domestik yang tinggi serta permintaan tidak menentu mungkin mengekang potensi kenaikan harga, sementara peningkatan kos bahan api dan pengangkutan akan terus memberi tekanan terhadap margin operasi.

“Dari segi penawaran dan permintaan, pengeluaran secara bermusim yang sederhana serta permintaan berterusan daripada sektor makanan dan biodiesel dijangka memberikan sokongan kepada harga MSM.

“Dalam keadaan ini, kumpulan akan mengutamakan produktiviti tanaman, kecekapan penuaian, dan penggunaan kilang, disokong oleh pengurusan kos yang berdisiplin, khususnya bagi bahan api dan pengangkutan,” maklumnya sambil menambah keutamaan operasi ini akan kekal menjadi teras dalam mengekalkan prestasi sepanjang tempoh berbaki 2026 hingga ke 2027.

-- BERNAMA