Untung Bersih Suku Ketiga KPJ Healthcare Naik Kepada RM106.31 Juta, Umum Dividen 1.20 Sen

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2026 meningkat kepada RM106.31 juta daripada RM93.91 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil bagi suku dalam tinjauan juga meningkat 12 peratus kepada RM1.24 bilion daripada RM1.11 bilion sebelum ini, terutamanya didorong oleh jumlah kunjungan pesakit, bilangan pembedahan yang bertambah dan campuran kes pesakit yang meningkat.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih meningkat kepada RM279.88 juta daripada RM233.03 juta, manakala hasil naik kepada RM3.49 bilion daripada RM3.10 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ad Banner

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KPJ Healthcare memaklumkan kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran luaran, disokong oleh asas perniagaan yang kukuh dan hala tuju strategik yang jelas.

“Kumpulan kekal optimistik terhadap prospeknya bagi tahun kewangan semasa yang berakhir 31 Dis, 2026,” menurutnya.

KPJ baru-baru ini melancarkan pusat penjagaan mata utamanya yang baharu, KPJ Centre for Sight PJ33, di Petaling Jaya, Selangor serta Pusat Kecemerlangan (CoE) Ortopedik dan Reumatologi pertamanya di KPJ Penang Specialist Hospital (KPJ Pulau Pinang).

Ad Banner
Ad Banner

“Ini akan mempertingkatkan lagi tawaran penjagaan kesihatan pakar kami serta mengukuhkan kedudukan kami dalam menyediakan perkhidmatan yang komprehensif dan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia,” tambahnya.

Berdasarkan prestasi positif itu, Lembaga Pengarah KPJ hari ini meluluskan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.20 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026, berjumlah RM53.1 juta yang akan dibayar pada 24 Dis, 2026.

-- BERNAMA