Institusi Tempatan Catat Aliran Masuk Bersih RM232.3 Juta - MBSB IB

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Institusi tempatan kembali mencatatkan belian bersih di Bursa Malaysia, merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM232.3 juta minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam Laporan Aliran Dana mingguan untuk minggu berakhir 20 Nov 2026, MBSB IB memaklumkan pelabur runcit meneruskan aliran belian bersih selama 13 minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM46.9 juta.

Sementara itu, institusi asing meneruskan aliran jualan bersih kepada dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM279.2 juta.

Ad Banner

“Mereka merupakan penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan pada minggu tersebut. Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Rabu (RM248.4 juta), diikuti Jumaat (RM146.4 juta) dan Khamis (RM55.7 juta).

“Aliran masuk bersih dicatatkan pada Selasa (RM91.1 juta) dan Isnin (RM80.2 juta),” menurutnya.

Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah penjagaan kesihatan berjumlah RM111.6 juta, telekomunikasi dan media (RM60.8 juta) dan amanah pelaburan hartanah (REIT) (RM2.6 juta).

Ad Banner
Ad Banner

Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM82.7 juta, teknologi (RM70 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM65.9 juta).

Menurut MBSB IB, purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan yang menyeluruh, dengan pelabur runcit meningkat sebanyak 12.3 peratus, institusi tempatan (22.4 peratus) dan institusi asing (tiga peratus).

MBSB IB memaklumkan pelabur asing kembali mencatatkan jualan bersih di lapan pasaran Asia yang dipantau, dengan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak US$6.32 bilion.

“India merupakan satu-satunya pasaran yang mencatatkan aliran masuk asing bersih manakala aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan di Taiwan, diikuti Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Vietnam, Malaysia dan Filipina,” menurutnya.

-- BERNAMA