Inflasi Malaysia Dijangka Meningkat Sedikit Kepada 2.0 Peratus Pada 2027 - Apex Securities
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Inflasi Malaysia dijangka meningkat secara sederhana kepada 2.0 peratus pada tahun 2027, berbanding anggaran 1.8 peratus pada tahun ini, menurut Apex Securities Bhd.
Firma itu memaklumkan bahawa unjuran inflasi bagi 2027 berada dalam lingkungan ramalan Kementerian Kewangan (MOF) iaitu antara 1.8 hingga 2.8 peratus, unjuran itu disokong oleh kesinambungan subsidi bahan api bersasar, dijangka dapat mengurangkan kesan daripada harga tenaga global yang tinggi.
Apex Securities mengekalkan unjuran inflasi tahun penuh pada 1.8 peratus untuk 2026, walaupun telah menaikkan andaian harga minyak mentah Brent kepada US$90 setong bagi 2026 dan 2027, berbanding anggaran sebelum ini iaitu US$85 setong.
“Bagaimanapun, risiko inflasi cenderung meningkat berikutan ketegangan di Timur Tengah yang kadangkala memuncak semula, ia boleh menyumbang kepada ketidaktentuan harga komoditi global,” menurut kenyataan itu.
Apex Securities menyatakan bahawa beberapa faktor boleh mempengaruhi inflasi domestik, termasuk pemindahan kos perniagaan yang lebih tinggi kepada harga pengguna secara berperingkat, dengan Indeks Harga Pengeluar (PPI) meningkat kepada 12.0 peratus tahun ke tahun pada September.
Faktor-faktor lain termasuk risiko berkaitan fenomena El Nino terhadap kos makanan dan elektrik serta permintaan isi rumah yang berdaya tahan yang disokong oleh langkah-langkah dasar kerajaan seperti bantuan tunai, kenaikan gaji minimum dan pengurangan cukai secara terpilih.
Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Apex Securities memaklumkan bahawa prospek inflasi menyokong pandangannya supaya Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan OPR kepada 3.00 peratus pada 2027.
“Memandangkan risiko yang semakin meningkat berkaitan kitaran pelaburan kecerdasan buatan (AI), BNM mungkin kekal bergantung kepada data.
“Prospek inflasi yang masih terkawal memberikan ruang kepada BNM untuk menunggu, sekiranya risiko terhadap pertumbuhan ekonomi meningkat dengan ketara,” katanya.
-- BERNAMA