BERITA TERKINI   PRN Melaka: 17.96 peratus pengundi keluar mengundi setakat 10 pagi - SPR | Raja Permaisuri Agong titah pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat nilai kesan pembangunan pusat data terhadap alam sekitar | PRN Melaka: 9.24 peratus pengundi keluar mengundi setakat 9 pagi - SPR | PRN Melaka: Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh selesai mengundi di SK Jeram, Masjid Tanah pada 8.38 pagi | PRN Melaka: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim selesai mengundi di SK Demang Hussin, Bukit Katil | 

Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Stabil Minggu Depan Disokong Aktiviti Membeli Saham Berharga Rendah

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka kembali ke Bursa Malaysia minggu depan memandangkan penilaian saham menjadi lebih menarik susulan penurunan baru-baru ini, kata naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut di bawah paras 1,600 pada minggu yang baru berakhir ini, mencatatkan penurunan lima hari dagangan berturut-turut, menjadikannya semakin menghampiri zon terlebih jual.

Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, Thong menjangkakan FBM KLCI diniagakan stabil antara paras 1,580 hingga 1,600 minggu depan dengan pembelian berpilih dijangka menyokong lantunan semula teknikal.  

“Walaupun ketidaktentuan luaran mungkin terus menyebabkan dagangan kekal tidak menentu, kami menjangka aktiviti membeli saham pada harga rendah muncul dalam pasaran memandangkan penilaian menjadi semakin menarik,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu depan beliau menjangkakan para pelabur akan memantau pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2026, serta data inflasi dan data perdagangan Oktober, bagi mendapatkan petunjuk seterusnya mengenai daya tahan ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata angka pengeluaran perindustrian dan jualan runcit China, serta minit mesyuarat bulan Oktober Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) juga akan mempengaruhi sentimen serantau.

Bagi tempoh Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 33.99 mata kepada 1,582.59, daripada 1,616.58 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 228.58 mata kepada 11,736.89, Indeks FBM Top 100 turun 226.80 mata kepada 11,571.65, manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 143.09 mata kepada 11,679.68.

Indeks FBM ACE menyusut 177.10 mata kepada 5,063.14, manakala Indeks FBM Mid 70 turun 237.55 mata kepada 16,783.33.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 11.79 mata kepada 783.07, Indeks Perladangan meningkat 69.71 mata kepada 8,796.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.26 mata kepada 170.09, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 444.86 mata kepada 18,512.20.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 11.59 bilion unit bernilai RM7.70 bilion daripada 15.49 bilion unit bernilai RM14.43 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 4.33 bilion unit bernilai RM8.90 bilion, daripada 8.30 bilion unit bernilai RM13.08 bilion.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 3.27 bilion unit bernilai RM394.43 juta daripada 5.23 bilion unit bernilai RM600.74 juta.

Bagaimanapun jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.60 bilion unit bernilai RM734.92 juta daripada 1.95 bilion unit bernilai RM749.55 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA