BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat nilai kesan pembangunan pusat data terhadap alam sekitar | PRN Melaka: 9.24 peratus pengundi keluar mengundi setakat 9 pagi - SPR | PRN Melaka: Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh selesai mengundi di SK Jeram, Masjid Tanah pada 8.38 pagi | PRN Melaka: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim selesai mengundi di SK Demang Hussin, Bukit Katil | PRN Melaka: Semua 240 pusat mengundi dibuka tepat 8 pagi ini, cuaca baik di seluruh negeri | 

Kerajaan Komited Perkukuh Ekonomi, Tingkat Daya Saing Malaysia Untuk Saingi Harimau Asia – Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan komited melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif strategik bagi memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang serta meningkatkan daya saing Malaysia untuk kembali menyaingi ekonomi Harimau Asia, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu memaklumkan berdasarkan kestabilan asas ekonomi makro ketika ini, ekonomi negara diunjurkan berkembang antara 4.8 hingga 5.3 peratus pada 2026, disokong oleh kadar inflasi dan pengangguran yang rendah.

“Sehubungan itu, negara perlu mempercepat penstrukturan semula ekonomi. Usaha ini sedang dilaksanakan secara menyeluruh menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Ad Banner
Ad Banner

“Melalui kerangka ini, negara akan beralih daripada kebergantungan kepada buruh berkemahiran rendah kepada ekosistem perindustrian bernilai tinggi yang berupaya melonjakkan pertumbuhan ekonomi,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai analisis Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bahawa jurang pendapatan antara Malaysia dengan ekonomi Harimau Asia semakin melebar tanpa menunjukkan pemulihan sejak 1980-an.

Menurut kementerian itu, aspirasi Ekonomi MADANI turut menetapkan sasaran untuk menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia, sekali gus membuka ruang kepada negara untuk kembali bersaing dengan ekonomi Harimau Asia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Memang tidak dinafikan bahawa negara Harimau Asia seperti Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong telah sekian lama mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Malaysia pula masih berada dalam kelompok negara berpendapatan sederhana tinggi sejak 1992. Jurang antara Malaysia dengan negara-negara tersebut mula ketara sejak akhir 1980-an, berpunca daripada beberapa faktor struktur,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA